59 PATI mengaku bersalah tiada dokumen sah, tinggal lebih masa - Utusan Malaysia

59 PATI mengaku bersalah tiada dokumen sah, tinggal lebih masa

SEBAHAGIAN warga asing yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini selepas ditangkap di perairan Bagan Sungai Tiang di Bagan Datuk bulan lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen yang sah serta tinggal melebihi masa.

Tertuduh termasuk seorang lelaki warga Nepal berusia antara 20 hingga 64 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, daripada 59 PATI tersebut, 33 orang didakwa memasuki negara ini tanpa pas yang sah di kebun sawit, di tepi jalan pasir Kampung Sungai Tiang Baroh, Selekoh dalam daerah Hilir Perak pada pukul 10.30 pagi, 28 Disember 2023.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam sebatan.

Sementara itu, baki 26 PATI pula didakwa atas pertuduhan tinggal di negara ini setelah tamat tempoh sah lawatan.

Kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 itu dilakukan di kebun sawit, di Jalan Ban Pesisiran Laut Bagan Sungai Tiang, Selekoh pada pukul 6.30 pagi, 28 Disember 2023.

Pertuduhan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua warga asing yang tidak diwakili peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh lain untuk menjatuhkan hukuman iaitu pada 19 Januari depan.

Media pada 28 Disember lalu melaporkan, cubaan 60 PATI untuk pulang ke negara asal secara haram menggunakan jalan laut tidak kesampaian apabila diberkas pihak berkuasa.

Tangkapan terhadap PATI tersebut susulan maklumat awam berkaitan sebuah bot yang terkandas dan dalam keadaan mencurigakan di perairan Bagan Sungai Tiang.

Selain PATI, tangkapan juga dilakukan terhadap dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 63 tahun yang disyaki memandu kenderaan untuk membawa migran tersebut pulang ke Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya