KANVAS hidupnya sarat dengan cerita lukisan. Namanya terkenal dalam lukisan figuratif seni mempertahankan diri iaitu silat sehingga karyanya diangkat di luar negara.
Amron Omar, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Besar namanya sebaris legenda pelukis lain seperti Latif Mohidin, Pak Leman dan Sharifah Fatimah Syed Zubir.
Dari negara matahari terbit hingga ke negara Uncle Sam, namanya tidak asing lagi. Pertarungan yang dihasilkan atas kanvas seni melonjak namanya ke seantero dunia.
Antara pameran seni yang pernah disertainya adalah Contemporary Asian Art Show (1980) di Muzium Seni Fukuoka, Jepun, dan Contemporary Paintings of Malaysia (1988) di Los Angeles, California.
Sewaktu bertentang mata di studio seni miliknya di Wangsa Maju, dua bulan lalu, Amron tersenyum puas dengan kejayaan demi kejayaan yang ditempa sepanjang tempoh 45 tahun bergelar pelukis.
“Kepuasan itu lahir pada karya yang dihasilkan. Ada tema tertentu, ada semangat membara yang dapat merangsang kita untuk menghasilkan sesebuah lukisan.
“Melukis di dalam studio juga adalah satu bentuk kepuasan. Sebelum melukis, saya perlu bersenam sebab perlu kekalkan momentum dan stamina.
“Kalau dulu, saya boleh berdiri selama enam jam ketika melukis. Sekarang umur makin bertambah, paling maksimum tiga jam sahaja boleh,” kongsinya penuh semangat.
WAKIL MALAYSIA
Amron antara pelukis muda yang pernah mewakili Malaysia semasa penerbangan Malaysia Airlines mula diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) pada 1988.
Ketika itu, seramai 30 artis tempatan termasuk pelukis diterbangkan ke negara Uncle Sam bagi mempromosikan kesenian dan kebudayaan Malaysia.
Di peringkat tempatan, lebih 30 pameran pernah disertai termasuk National Open Show (1984-1985) di Balai Seni Negara dan Imagining the Contemporary Body (1996) di Galeri Petronas, Kuala Lumpur.
Pada 1985, legenda seni lukis ini memenangi anugerah perak di Pameran Asia Seni Sime Darby, Kuala Lumpur.
Balai Seni Negara pernah mengangkat beliau sebagai artis solo bagi pameran perseorangan, retrospektif ‘Pertarungan’ pada 2012.
Pameran itu memaparkan lebih 150 karya terpilih daripada siri ‘Pertarungan’ yang berupa karya cat minyak atas kanvas serta lebih 500 lukisan figura di atas kertas dan lakaran atas tisu.
Di Asia Tenggara, beliau pernah menempa nama di ASEAN Mobile Show di Jakarta (1981), The 4th ASEAN Mobile Art and Photography Exhibition Singapura, Kuala Lumpur, Thailand, Filipina, Indonesia, Brunei (1985).
LATAR BUDAYA MELAYU
Idea daripada imej-imej karyanya secara umum terangkat daripada latar kebudayaan Melayu tempatan, secara zahir dan batin.
Ketekalan, kematangan dan kesan dinamisme kepada karya-karya beliau juga adalah unik bersandar kepada akar pengolahan karyanya yang mengendong ciri dualiti (pertarungan dua pesilat) secara amat bermaruah.
“Melukis bukan hanya idea. Banyak faktor yang mempengaruhi seperti disiplin, fokus dan ketekunan. Belum tentu lukisan yang dibuat akan diangkat dan diterima khalayak.
“Di ITM (Institut Teknologi Mara), pensyarah banyak terlibat dengan industri. Jadi mudah hasil kerja pelajar dipamer di Balai Seni Negara. Jadi, laluan karya pelajar diangkat dan menjadi bahan pameran sangat mudah,” katanya.
Karya seninya sering menjadi tumpuan kolektor sehingga pernah mendapat bidaan tertinggi daripada pengumpul seni lukisan dalam dan luar negara.
“Lukisan paling mahal pernah terjual RM300,000. Ketika itu, ada peminat yang beli dua buah lukisan yang mencecah harga setengah juta, melalui kolektor.
“Sekarang banyak platform. Ada sesi lelongan dan bidaan lukisan di pelbagai acara,” katanya yang menjana pendapatan daripada kerja seni sejak zaman bujang sehingga mempunyai dua anak.
SENI LUKIS
Amron menyambung pengajian di Fakulti Kajian Seni Lukis & Seni Reka di ITM, Shah Alam pada 1976 hingga 1980.
Semangatnya berkobar-kobar dan penuh keazaman untuk menjadi pelukis yang disegani sehingga terkenal dalam bidang lukisan pertarungan silat (seni pertahanan diri) dan potret.
Antara pameran potret pernah diadakan adalah tentang koleksi bekas Duta-Duta Besar Malaysia di Balai Seni Negara pada 2011.
“Jadi pelukis perlu fokus dan spesifik pada satu tema sahaja, baru dapat menempa nama dalam bidang ini.
“Kalau buat macam-macam lukisan, peminat tidak dapat mengikuti karya kita. Pernah juga kolektor minta saya buat lukisan Muay Thai, ikutkan juga kehendak mereka walaupun bukan forte saya,” katanya.
Penghasilan karya yang baik boleh memberi impak besar kepada sesiapa yang melihatnya.
Karya pertarungan Amron Omar juga dapat menyedarkan kita mengenai nilai-nilai yang baik.
Karya-karya beliau mempunyai nilai estetika tersendiri kerana ia bukan hanya untuk diteladani, tetapi melawan diri daripada sifat-sifat jahat atau kemalasan (pertarungan diri).
“Saya melukis tak kira masa. Lukisan paling cepat siap saya pernah buat adalah dalam tempoh dua minggu sahaja.
“Lukisan seorang lelaki berkain pelikat yang dihasilkan pada 1982 itu hanya dibuat dalam durasi seminggu. Karya itu menang sehingga diletakkan dalam buku Pendidikan Seni Visual tingkatan lima.
“Seni pertarungan ini ada banyak maksud. Cahaya, bayang daripada pergerakan silat semuanya ada tafsiran.
“Prinsip-prinsip yang terkandung dalam ilmu persilatan tersebut banyak mempengaruhinya dalam menjalani kehidupan, proses berkarya dan juga pada karyanya,” kongsinya.
PERNAH MENGAJAR UTUSAN
Kehadiran wartawan dan jurufoto akhbar ini bagaikan satu simbiosis kerana Amron juga pernah menjadi tenaga pengajar kepada pelukis kartun Hello Bos semasa Utusan Malaysia di bawah pengurusan Kumpulan Utusan.
Dalam masa sama, suri hatinya, Nor Rasidah Dijai juga adalah bekas pelukis grafik di akhbar yang sudah menjangkau usia 80 tahun ini.
Amron dibesarkan dalam persekitaran dunia persilatan. Ayahnya seorang guru silat dan abang-abangnya terlibat dalam ilmu persilatan.
Di depan rumahnya, terdapat sebuah gelanggang silat yang menjadi tempat bagi golongan remaja di sekitar kampung berlatih ilmu persilatan.
Faktor-faktor persekitaran pada masa itu, buikan sahaja menaerik minatnya untuk memahami dan mendalami ilmu persilatan, malah menzahirkan bakat melukis dirinya.
“Sejak kecil, kalau ada unsur-unsur pergerakan tubuh manusia sedang bertarung saya akan lukis.
“Ayah saya sangat bagi galakan dan menjadi pengkritik terhadap mutu lukisan ketika itu. Keakraban dengan ayahnya menjadi pendorong untuk dirinya terus aktif berkarya sehingga kini,” ujarnya.
MELUKIS SEJAK KECIL
Mengimbas kembali kenangan semasa zaman belum akil baligh, beliau berkata, bapanya, Omar Jaafar adalah individu bertanggungjawab memperkenalkan dirinya dalam bidang seni lukis.
Kongsinya, beliau sering dihantar menyertai pertandingan membuatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok Baru, Alor Setar ini menempa nama sehingga peringkat kebangsaan.
Gelaran johan demi johan sering dirangkul sehingga ujarnya, pernah menewaskan peserta dari Brunei, sekitar era 60an, semasa zaman yang terkenal dengan lukisan water color.
“Asal masuk pertandingan, terus menang. Sampai nama saya sudah terkenal di Alor Setar.
“Masa darjah satu, saya pernah masuk pertandingan mewarna anjuran akhbar The News Straits Times (NST). Dapat juara tetapi, masa itu hadiah perlu ambil di Pulau Pinang,” katanya.
Kongsi anak bongsu daripada 13 beradik ini, peristiwa melukis orang-orang di sawah bendang dalam bentuk bayangan akhirnya menjadi tanda dagang dirinya dikenali di peringkat sekolah.
“Masa itu, cikgu suruh saya buat karangan bergambar. Saya pilih lukis gambar orang-orang, kemudian perlu buat karangan.
“Keitka itu, saya buat lukisan penuh, bukan lukisan orang lidi. Tak sangka akhirnya disiarkan dalam majalah sekolah sampai terpilih jadi gambar cover,” kongsinya mengakhiri bicara.