NIBONG TEBAL: Seramai empat lelaki cedera dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah lori dan van di Kilometer (KM) 157.9, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Sungai Bakap menghala ke utara di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, mereka yang cedera terdiri daripada pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan dan berusia lingkungan 28 hingga 60 tahun.
Terdahulu, katanya, bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 12.10 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dan BBP Nibong Tebal.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati kesemua mangsa berada dalam keadaan tersepit selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas akibat perlanggaran itu dan merempuh sebatang pokok.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu juga, mangsa-mangsa tersebut mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki.
“Komander Operasi kemudian membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota dengan PPE lengkap dan peralatan khas melakukan kerja-kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kedua-dua kenderaan itu.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 12.45 tengah hari diikuti mangsa kedua pukul 1.10 petang manakala dua lagi mangsa pula dikeluarkan pukul 1.22 serta 1.51 petang.
“Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan dan kes diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau memberitahu, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pukul 2.17 petang dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN