KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 peserta menyuarakan bantahan terhadap kekejaman Israel melalui Himpunan ‘Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza’ yang berlangsung berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Pengerusi Boikot, Pelupusan Pelaburan dan Sekatan (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata, himpunan itu turut diadakan di 38 negara dan 74 pusat bandar seluruh dunia secara serentak.
“Kita perlu terus bersuara untuk menghentikan kekejaman Israel dan pembunuhan beramai-ramai rakyat di Gaza.
“Hari ini merupakan hari ke-100 serangan berdarah di Gaza yang mengorbankan kira-kira 24,000 nyawa,” katanya.
Terdahulu, seramai 28 individu berucap pada perhimpunan terbabit serta mendesak Israel menghentikan serangan genosid.
BDS selaku penganjur perhimpunan dengan kerjasama 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara menyasarkan 3,000 pengunjung yang hadir.
Himpunan hari ini turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
“Kita berkumpul sekali lagi bagi mendesak dan menuntut Israel menghentikan serangan berdarah dan tindakan genosid terhadap Semenanjung Gaza,” katanya. – UTUSAN