367 syarikat PMKS dibantu pasarkan produk ke luar negara - Utusan Malaysia

367 syarikat PMKS dibantu pasarkan produk ke luar negara

ZAIMAH Osman (kiri) meneliti produk keluaran usahawan PMKS yang bakal menembusi pasaran Indonesia di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Wilayah Timur telah berjaya membantu 367 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di tiga negeri wilayah itu memasarkan produk ke luar negara pada tahun lalu.

Pengarah pejabat MATRADE Wilayah Timur, Zaimah Osman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 116 syarikat adalah dari negeri Terengganu, 65 dari Kelantan dan 186 dari Pahang.

Menurutnya, MATRADE komited membantu semua syarikat tersebut untuk menembusi pasaran luar negara antaranya Indonesia, Arab Saudi, China dan juga negara-negara lain di dalam ASEAN dan Timur Tengah.

Katanya, antara kejayaan terbaru, sebanyak enam syarikat dari Terengganu daripada lapan jumlah syarikat telah menerima sijil Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) untuk menembusi pasaran Indonesia melalui pengimport PT Laara World.

“Kami komited untuk terus membantu syarikat-syarikat ini lebih berdaya saing dalam pasaran luar negara dengan strategi eksport nasional yang lebih berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Lapan syarikat dari Terengganu yang bakal menembusi pasaran Indonesia ialah Nurrifa Rich Sdn. Bhd., Neutragize Sdn. Bhd., Aimgize Resources, NR Inspiraz, Rush Baby Sdn. Bhd., Ifahsa World Beauty, FR Qaseh Marketing Sdn. Bhd. serta Pertima Terengganu Sdn. Bhd.

Ditanya potensi produk yang boleh ditembusi bagi usahawan PMKS di pasaran antarabangsa pula, Zaimah berkata, antaranya ialah makanan dan minuman, kosmetik dan produk kecantikan, produk kesihatan, pakaian dan tekstil dan lain-lain lagi.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, pejabat MATRADE Wilayah Timur akan terus memperhebatkan risikan komersil dan penyelidikan pasaran untuk mewujudkan pangkalan data maklumat yang komprehensif.

Tambahnya, ia adalah penambahbaikan dan pembangunan perdagangan yang penting dan menjadi sebahagian daripada program latihan untuk meningkatkan kemahiran pemasaran antarabangsa pengeksport Malaysia.

Mengenai cabaran yang dihadapi oleh pengeksport ketika ini, Zaimah berkata, usahawan perlu peka dengan perubahan teknologi yang dinamik dan berevolusi agar tidak ketinggalan dalam aliran perdagangan antarabangsa dunia.

” Kami akan terus membantu usahawan untuk berdepan cabaran ini agar hasrat kerajaan untuk syarikat tempatan berada di arena global tercapai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya