KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) menahan seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Op Kutip di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, tengah malam tadi.
JIMKL dalam kenyataan berkata, operasi bermula pasa 12 tengah malam berdasarkan hasil risikan pihaknya yang dijalankan selama seminggu.
“Lokasi itu (TBS) adalah lokasi ‘hotspot’ gelandangan warga asing. Sebelum ini kita ada menerima beberapa aduan awam berkenaan isu ini.
“Menerusi serbuan dijalankan, kita berjaya menahan 30 PATI yang terdiri daripada 14 warga Bangladesh, Indonesia (lima), India (lima), Pakistan (tiga), Nepal (dua) dan seorang warga Myanmar,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN