3 pegawai penguat kuasa JPJ didakwa terima rasuah RM600

3 pegawai penguat kuasa JPJ didakwa terima rasuah RM600

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperoleh suapan RM600, tahun lalu.

Ahmad Redza Fazri Kodri, 42; Sutan Azri Shah Sutan Norli, 37; dan Aliff Syakir Adnan, 36; dari JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mereka didakwa bersama-sama sebagai penguatkuasa JPJ di Bahagian Operasi JPJ WPKL secara rasuah memperoleh suapan untuk diri mereka wang tunai berjumlah RM600 daripada S. Navindran.

Suapan itu sebagai balasan untuk melepaskan pekerjanya iaitu pemandu lori, M.S. Thinagaran daripada saman atas kesalahan tidak memiliki lesen manakala lori tersebut tidak disita oleh JPJ.

Kesalahan itu didakwa berlaku di perhentian bas bertentangan di Jalan Genting Kelang menghala ke arah Gombak pada 11.13 malam, 27 Jun 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sutan Azri Shah turut didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM800 daripada Thinagaran, sebagai dorongan untuk melepaskannya (Thinagaran) daripada saman atas kesalahan sama di Plaza Tol Bukit Teratai di sini pada 8.30 malam, 27 Jun 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan RM13,000 bagi setiap tertuduh manakala peguam Mohd. Hezri Shaharil yang mewakili ketiga-tiga tertuduh itu memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 26 Februari untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN