KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah merekodkan jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tertinggi di seluruh negara pada tahun lalu.
Sepanjang tahun lalu seramai 4,108 orang PATI telah ditangkap menerusi 1,463 operasi yang dijalankan di seluruh Sabah.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 8,678 orang PATI telah diusir melalui 83 program penghantaran pulang PATI.
Daripada jumlah itu, seramai 6,519 orang adalah warga Filipina manakala, 1,996 orang warga Indonesia dan 163 orang adalah daripada lain-lain negara.
Beliau berkata, di Sabah terdapat banyak hotspot tapak perumahan setinggan yang menjadi penempatan PATI.
Justeru, pada tahun lepas sebanyak 43 operasi dilakukan bagi menggempur kawasan hospot penempatan PATI di seluruh Sabah.
“Kita memberi tumpuan di kawasan pantai timur seperti di Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.
“Pasukan Imigresen di daerah-daerah terlibat juga mengadakan operasi setiap hari bagi mengenal pasti lokasi penempatan PATI ini,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Sabah, di sini hari ini.
Operasi menggempur penempatan setinggan biasanya dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mengulas tentang isu kesesakan di Depot Tahanan Imigresen, Sitti Saleha berkata, ketika ini tidak lagi isu kesesakan tahanan di semua depot Imigresen di Sabah.
Katanya, kesesakan hanya berlaku semasa tempoh pandemik Covid-19 sahaja kerana kerajaan Filipina tidak mahu menerima warga mereka disebabkan penutupan pintu sempadan.
Namun, selepas endemik, tidak lagi berlaku sebarang kesesakan dimana-mana depot Imigresen di Sabah.
Malah katanya, setiap depot tahanan di Sabah mempunyai kurang 700 orang tahanan. Di Depot Tahanan Imigresen Papar misalnya, tinggal 600 orang tahanan sahaja biarpun depot itu boleh menempatkan sehingga 2,100 orang tahanan pada satu-satu masa.
Jelas beliau, kesesakan itu dapat diminimumkan menerusi kerjasama yang baik dengan kedutaan negara-negara lain dan trend sebegitu diharap akan berterusan. – UTUSAN