KUALA TERENGGANU: Seramai 26 bayi dilahirkan pada hari pertama Tahun Baharu 2024 di lima hospital di Terengganu, hari ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, 14 bayi adalah lelaki manakala 12 lagi adalah bayi perempuan.
“Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu merekodkan kelahiran tertinggi iaitu seramai 14 bayi diikuti Hospital Kemaman seramai enam bayi.
“Selain itu, dua kelahiran masing-masing direkodkan di tiga lagi hospital yang lain iaitu di Hospital Dungun, Hospital Setiu dan Hospital Besut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelahiran pertama yang direkodkan ialah di Hospital Setiu iaitu pada pukul 1.36 pagi tadi. – UTUSAN