KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 syarikat pelancongan tempatan yang mendapat lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1445H/2024 akan berhimpun selama tiga hari di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), Sepang.
Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dengan kerjasama Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera (Bumitra) itu menyasarkan kehadiran 10,000 orang pengunjung.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, karnival tahun ini diadakan sebagai kesinambungan atas kejayaan penganjuran pertama pada tahun lepas.
“Penganjuran tahun lepas telah berjaya mencapai sasaran kehadiran seramai 5,000 pengunjung.
“Walaupun diadakan dalam bulan Ramadan, kita telah dapat mencapai dari segi dua aspek iaitu jumlah pengunjung dan jumlah transaksi atau nilai hasil penjualan pakej haji hampir RM100 juta.
“Jadi, karnival ini serampang dua mata, ia sebagai satu usaha mempromosikan pakej-pakej haji dan menggalakkan PJH mengadakan promosi pakej umrah dan pelancongan,” katanya, di sini.
Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, karnival ini juga merupakan usaha Tabung Haji dan Bumitra untuk memberi penerangan kepada orang ramai berhubung penipuan pakej haji, jemaah terkandas dan sebagainya.
“Kita akan tekankan, beri penerangan dan pendidikan kepada orang ramai supaya memahami untuk pergi haji seharusnya mereka memilih syarikat yang telah dilesenkan oleh Tabung Haji.
“Ini kerana Tabung Haji telah melalui penilaian berperingkat supya syarikat tertentu saja yang layak jadi PJH.
“Jadi ini penting supya mereka tidak terpengaruh dan tidak mudah mengambil jalan berisiko tinggi apabila ingin menunaikan ibadah haji,” katanya.
Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 yang akan diadakan selama tiga hari terbuka secara percuma kepada pengunjung dan akan bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada 19 dan 20 Januari.
Manakala, pada 21 Januari pula, karnival akan bermula dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Selain daripada tawaran pakej haji, umrah dan pelancongan, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan buat para pengunjung antaranya program simulasi haji untuk kanak-kanak, persembahan daripada artis nasyid terkenal, program bual bicara dan kuiz.
Ia termasuk cabutan bertuah khusus untuk para pengunjung dengan tawaran hadiah yang lumayan termasuklah pakej menunaikan umrah. – UTUSAN