KUALA LUMPUR : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita sebanyak 23 buah kereta yang disyaki digunakan untuk menjalankan perkhidmatan ‘e-hailing’ secara tidak sah.
Tindakan tersebut susulan Operasi Pengarah (Kenderaan Perkhidmatan Awam) yang dijalankan bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari tadi.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd. Zaki Ismail berkata, operasi itu dijalankan di empat lokasi berasingan membabitkan sekitar Taman Melati, Wangsa Walk Mall, Setapak Central Mall dan KL East Mall.
“Sebanyak 112 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya lesen memandu (22 kes), salah guna lesen kenderaan motor (LKM) (64 kes) dan cermin gelap (21 kes) selain sitaan 23 kereta.
“JPJ telah menahan 23 pemandu warga asing terdiri daripada 10 warga tempatan, Afghanistan (1), Somalia (1), Indonesia (4), Mesir (1), Bangladesh (5) dan Yemen (1),” katanya dalam kenyataan hari ini .
Mengulas lanjut, Mohd. Zaki memaklumkan terdapat seorang pemandu dikesan mengulangi kesalahan yang sama iaitu pemandu warga Afganistan.
Jelas beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan semakan lebih lanjut.- UTUSAN