2024: Pulihkan ekonomi, tambah peluang pekerjaan

2024: Pulihkan ekonomi, tambah peluang pekerjaan

DAYANA GHAFUR, NONA dan RIDHWAN ROS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang tahun baharu 2024, golongan muda berharap kerajaan dapat memulihkan ekonomi negara sekali gus menambah peluang pekerjaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, diharapkan pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dapat bekerjasama dengan baik dalam konteks pelaksanaan.

Katanya, rakyat sering dihampakan dengan strategi dan idea bernas di peringkat persekutuan yang gagal dilaksanakan dengan baik.

“Rakyat sering menaruh harapan tinggi terhadap inisiatif yang dilihat mampu memulihkan ekonomi dan isu-isu utama lain dihadapi komuniti, tetapi sering juga dihampakan dengan pelaksanaan ‘separuh masak’,” katanya ketika dihubungi.

Ridhwan berkata, inisiatif dan pelaksanaan sedia ada juga perlu diberikan perhatian dengan penelitian semula agar penambahbaikan dapat terus dilakukan.

“Pihak kerajaan boleh meneliti perkara, inisiatif dan idea yang pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi ditambah baik dari segi pelaksanaan agar menepati waktu dan keadaan masa kini,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pengiklanan dan Pemasaran, Dayana Ghafur, 25 berkata, dia berharap agar kerajaan dapat menambah inisiatif bagi golongan tua seperti program kesejahteraan sosial khusus.

Katanya, program ini bertujuan membantu golongan tua seperti pesara agar dapat meningkatkan ekonomi kehidupan selepas menamatkan pekerjaan terutama bagi yang berisiko.

“Inisiatif untuk orang tua yang dah pencen seperti bantuan dan sebagainya. Jadi, nanti tiada yang akan buat grab untuk raih pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja sektor swasta, Naveen Kumar, 27 berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan proaktif dan holistik dalam melaksanakan dasar-dasar ekonomi pasca-pandemik.

Katanya, hal ini termasuk langkah-langkah yang dapat mencipta peluang pekerjaan dan memperkuat pertumbuhan ekonomi negara.

“Keberhasilan pemulihan ekonomi bergantung kepada keberkesanan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya melibatkan kos sara hidup.

“Diharapkan pihak kerajaan akan menyusun dan melaksanakan program-program latihan dan pembangunan kemahiran yang bersifat holistik sejajar dengan keperluan pasaran pekerjaan moden,” katanya.

Selain itu, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ingin dikenali sebagai Nona, 23 berkata, dia berharap kerajaan dapat memberikan penekanan yang lebih serius kepada pembangunan sektor inovasi dan teknologi.

Katanya, inisiatif untuk mendorong penyelidikan dan pembangunan serta memberi sokongan kepada usahawan muda adalah penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada era digital ini.

“Saya berharap agar pelajar-pelajar seperti saya dapat melibatkan diri dalam ekosistem inovasi yang berkembang, mencipta solusi kreatif dan mengambil bahagian dalam transformasi digital negara.

“Dengan berlakunya transformasi ekonomi yang positif, saya percaya bahawa Malaysia dapat bersaing di persada antarabangsa dan memberikan masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya