SEBUAH lirik lagu hits negara seberang ada berbunyi; masa muda, masa yang berapi-api. Mierul Aiman masih bergulat dalam sistem pelajaran di universiti ketika sumbu cinta kepada lakonan sudah pun menyala perlahan-lahan dalam dirinya.
Dari pentas teater menerusi projek kecil-kecilan lapangan independen yang penontonnya mungkin kurang 200 orang setiap pementasan, jejaka asal Putrajaya ini tidak pernah menyangka, setahun kemudian namanya menjadi rebutan naskhah terkenal tanah air yang ditonton di seluruh dunia.
“Saya anggap ia magis. Setiap apa yang terjadi kepada saya dalam tempoh dua tahun perjalanan ini adalah keajaiban.
“Saya percaya masa tidak akan lambat. Segalanya akan hadir pada waktu yang tepat,” katanya kepada Pancaindera dengan lebar senyuman, berusaha menyembunyikan keadaan diri yang tidak sihat semasa ditemu ramah.
Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, menggengam tuah pertamanya dengan merangkul gelaran juara Hero Remaja pada 2021, namun yang mengukuhkan namanya adalah watak Fakhri menerusi Projek: High Council pada tahun 2023.
Mierul mengakui sempat terkejut dengan populariti yang tiba-tiba menerjahnya.
Dari pengikut di Instagram berjumlah 4,000 tiba-tiba mencanak sehingga 250,000.
Ke mana-mana pergi sosoknya dikejar, ada sahaja peminat meminta bergambar.
“Saya akui terkejut, saya masih ingat bagaimana KLCC dipenuhi dengan penonton Projek: High Council tahun lalu, itu momen yang gila. Pengikut di media sosial tiba-tiba semakin ramai. Betul, saya ambil masa untuk beradaptasi dengan populariti ini.
“Sememangnya saya sedar, apa yang lebih penting dari populariti ini adalah kepercayaan yang diberikan pemain industri untuk memberi peluang kepada saya membawakan sesuatu watak.
“Jadi populariti, harus sejalan dengan tanggungjawab menjadi pelakon yang bermutu,” tambahnya.
PERNAH KERJA KEDAI MAKAN, HANTAR MAKANAN UPAH RM5
MEMBESAR dalam keluarga yang sederhana, ibu bapa telah pun mempersiapkan anak sulung dari dua beradik ini untuk sentiasa merendah diri, agar tidak lupa jika pujian dilambung terlalu tinggi, juga tidak mati jika dicaci.
“Sebelum semua populariti ini, saya pernah rasa bagaimana susah mencari wang. Setiap kali cuti semester ayah akan ‘kerah’, bertanggungjawab mencari wang sendiri.
“Semua jenis pekerjaan saya pernah cuba, dari kerja di kedai makan, pelayan di butik pakaian, sehinggalah penghantar makanan sudah saya lakukan. Saya juga pernah rasa dibayar RM5 untuk kerja satu jam.
“Semua itu adalah pengalaman yang mahal sehingga kini menjadi kenangan manis dalam hidup saya. Saya menikmati setiap perjalanan itu,” ceritanya tersenyum.
WAJAH AWAM DAN ERTI KACAK NUSANTARA
SEPANJANG tayangan drama bersiri Viu Malaysia, W: Two Worlds, timbul satu perbincangan menarik dalam kalangan warganet tentang pelakon ‘wajah awam’ iaitu satu panggilan yang diberikan buat seseorang yang dianggap biasa-biasa sahaja, tidaklah mengikut standard kekacakan atau kecantikan negara tertentu.
Perbahasan ini tentu sahaja turut mengaitkan beberapa nama pelakon yang dilihat wajahnya tidak cukup komersial untuk muncul di layar lebar.
Bagi Mierul, dipanggil wajah awam bukanlah suatu penghinaan, atau perkara yang boleh membuatnya berkecil hati sebaliknya satu kelebihan.
“Wajah awam yang saya faham adalah rupa yang biasa kita temui di negara ini. Bagi saya sebagai pelakon, baguslah jika kita ada wajah yang mewakili masyarakat membuatkan penonton rasa lebih dekat dengan sesuatu watak. Sebelum ini, kita ada Jehan Miskin dan Johan Ashaari, popular dan hebat lakonannya.
“Dari aspek permainan skrin pula, pengarah sudah mempunyai visual yang akan mendorong kepada mood juga aura naskhah.
“Sebab itu, ada karakter dengan ciri wajah tertentu yang ditampilkan sesuai karya,” jelasnya.
Bagi Mierul, kacaknya seseorang lelaki bergantung kepada dua perkara iaitu pekerti serta kebijaksanaannya mengetahui kemahiran yang dimiliki.
KUMPULAN PELAKON GENERASI MUDA, BUNUH CURIGA
BAGI memastikan graf tenaga dan momentum kerjaya selalu meningkat, Mierul mendedahkan akan melakukan ‘table talk’ dengan rakan-rakan pelakon muda lain untuk menggali lebih banyak ilmu tentang dunia lakon layar.
“Sesiapa yang pernah bekerja dengan saya, biasanya kami akan lakukan perbincangan tentang projek yang sesuai diambil atau tidak. Dengan perjumpaan itu, kami selalu menyokong rakan-rakan industri lain.
“Saya boleh katakan gelombang yang dibawa generasi baru sangat sihat dan masing-masing mempunyai misi untuk membuat masyarakat percaya kepada kualiti industri kreatif tanah air,” jelasnya.
Sebelum mengakhiri temu bual, saya bertanya apakah harapan Mierul untuk 2024.
“Selain mahu berlakon lem, 2024 adalah tahun ‘mengganas’ laparkan pengetahuan. Saya ingin menimba banyak ilmu bukan daripada kerjaya tetapi juga menguatkan semangat sebagai manusia,” katanya.