1,907 calon SPM di Putrajaya

1,907 calon SPM di Putrajaya

EZZAIDIN Hussain (tengah) ketika meninjau peperiksaan SPM 2023 di SMK Presint 18 (1) Putrajaya -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1,907 calon berdaftar menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 11 pusat peperiksaan di seluruh Putrajaya hari ini.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 62 pelajar merupakan calon persendirian dan 18 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) yang terdiri daripada kategori masalah pembelajaran, ketidakupayaan intelektual, penglihatan dan fizikal.

“Bagi pusat-pusat peperiksaan di Putrajaya, secara umum berjalan dan diuruskan dengan baik kerana kita telah membuat persiapan yang rapi.

“Pelajar berkeperluan khas juga diurus dengan baik termasuk ada seorang pelajar yang cacat penglihatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan peperiksaan hari pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.

Menurutnya, pada tahun ini, terdapat seorang calon yang akan menduduki peperiksaan SPM di hospital ekoran terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, Ezaiddin berkata, seramai 485 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan dengan 15 daripadanya merupakan petugas sukarelawan.

“Seramai 15 petugas sukarelawan kita tempatkan di Putrajaya bagi membantu menangani masalah kekurangan petugas berikutan peperiksaan berlangsung ketika waktu persekolahan.

“Mereka ini merupakan lepasan sekolah dan graduan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan, jadi mereka mohon untuk jadi sukarelawan dan bayaran adalah sama seperti petugas-petugas peperiksaan yang lain juga,” ujarnya.

Media pada 1 Januari lalu melaporkan, SPM Tahun 2023 bermula pada 8 Januari sehingga 7 Mac depan dengan melibatkan seramai 395,870 calon yang sudah mendaftar.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata berkata, ia melibatkan tiga jenis ujian iaitu ujian bertutur, mendengar dan peperiksaan bertulis.

SPM 2023 melibatkan 3,340 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan 129,636 orang petugas peperiksaan bagi memastikan kelancaran pengurusan serta pengendalian peperiksaan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya