KITA pernah berada dalam sebuah garis masa apabila pawagam sangat ghairah menayangkan filem cinta Islamik.
Biasanya jalan ceritanya sangat heroik; seorang wanita mencari Tuhan kemudian bertemu seorang lelaki soleh, atau sebaliknya.
Menonton filem yang sedang tular di Indonesia, 172 Days baru-baru ini mengingatkan saya kembali kepada kecenderungan itu, Namun kerana ia satu kecenderungan, sifatnya berubah-ubah dan tidak melekat lama, namun sesekali ‘menyapa’ kita dengan kehadirannya.
172 Days diarahkan Hadrah Daeng Ratu diadaptasi daripada novel tulisan Nadzira Sharfa. Ia sebuah kisah benar, boleh diibaratkan seperti diari, mencatat perkahwinan yang mempunyai tarikh tamat tempoh selama 172 hari, antara Nadzira dan arwah suami, Ameer Azzikra.
Dari aspek persembahan visual, saya harus memberikan pujian kepada kru yang terlibat kerana menampilkan sebuah sinematografi yang indah.
Pergerakan kamera sangat mengena dari babak di dalam kelab malam, adegan dalam kereta serta keindahan Banten. Semuanya berjaya menghidupkan mood yang dibawa. Saya dapat melihat bagaimana art department sangat berhati-hati menyusun warna.
Bagaimana mereka memilih putih untuk adegan selamat datang ke alam perkahwinan dan juga simbolik kepada selamat tinggal. Berbeza dengan sesetengah orang, mereka akan menyarungkan pakaian hitam jika ada kematian.
Namun 172 Days barangkali ingin menyampaikan mesej bahawa kematian seseorang bukanlah sebenar-benar selamat tinggal.
Kematian bukanlah sebenar-benar perpisahan. Sama seperti warna kain kafan. Sepanjang menonton filem Indonesia, ini kali pertama saya benar-benar melihat persembahan Yasmin Napper.
Saya pernah menonton naskhah lakonannya yang lain namun tidak mengesankan atau lebih tepat, dia tidak begitu menonjol. Yasmin menurut saya adalah pelakon yang sangat cemerlang membawakan watak Zira, semua ekspresinya berjaya.
SEKADAR FANTASI
Selain itu, struktur cerita ini jelas. Act pertama filem ini begitu cemerlang dengan dialog tidak melewah, jenaka yang mengena berselang-seli dengan kata-kata dakwah sesuai untuk naskhah filem Islamik.
Namun jangkaan saya merosot sama sekali memasuki act kedua dengan bertubi-tubi adegan romantis yang menurut saya sangat keterlaluan.
Graf naskhah ini terasa sangat melelahkan. Penulis skrip ingin menyumbat sebanyak mungkin sifat-sifat baik Ameer Azzikra ke dalam filem ini.
Meskipun dari aspek teknikal dan lakonan 172 Days sangat cemerlang, namun saya berpendapat jalan ceritanya masih begitu-begitu sahaja. Sangat biasa.
Bahkan tidak keterlaluan jika saya merasakan inti sebenar filem ini hanya berada di act ketiga.
Selebihnya hanya metafora lelaki soleh yang melebih-lebih. Walaupun saya berpendapat filem ini memualkan dan hanya memenuhi fantasi pelajar sekolah agama yang ingin mencari seorang imam yang kacak dan baik, tapi saya percaya ia mungkin berjaya menambat hati golongan penonton tertentu sehingga mereka jatuh cinta atau mengalirkan air mata.
Pergilah ke pawagam, mungkin andalah sasaran penonton mereka. Tapi untuk saya, mungkin tidak.