KLANG: Sebanyak 17 motosikal dan kereta mewah dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas kesemua kenderaan tersebut didapati melepasi tempoh simpanan yang dibenarkan dalam gudang berlesen dekat Pelabuhan Klang, di sini.
Penolong Ketua Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, rampasan tersebut dibuat menerusi operasi bersepadu antara Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Perkastaman JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) pada 29 Disember 2023 dan 9 Januari lalu.
“JKDM membuat rampasan ke atas tujuh kenderaan mewah pelbagai model berjenama Audi, Porsche dan Mercedes Benz serta 10 motosikal jenis Honda dan Ducati serta beberapa motosikal yang dibuat khas.
“Kesemua kenderaan tersebut dibawa masuk dari Jepun dan China dan disimpan melebihi tempoh dibenarkan iaitu 48 bulan seperti diperuntukkan dalam Seksyen 65(2) dan (5) Akta Kastam 1967. Anggaran cukai yang perlu dibayar bernilai RM803,000,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, kesemua kenderaan yang disita itu bernilai keseluruhan RM750,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 138 akta sama dan jika sabit kesalahan individu terlibat boleh denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Norlela memaklumkan seorang lelaki warga Indonesia dituduh di mahkamah pada 22 Disember lalu selepas didapati terlibat dalam penyeludupan migran keluar dari negara ini.
Menurutnya, lelaki tersebut dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.
“Pada 16 Disember tahun lalu JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) bersama Unit Risikan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 13 orang warga negara asing dipercayai warga Indonesia yang terdiri daripada sembilan lelaki (termasuk tertuduh) dan empat wanita gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Kemudian kesemuanya direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Katanya lagi, 12 lagi warga asing yang ditahan kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN