SUBANG: Seramai 150 warga emas berbangsa Tionghua diraikan dan menerima hadiah berserta angpau sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, sumbangan anjuran Persatuan Kochow Kampung Baru Subang itu sebagai tanda penghormatan dan ingatan kepada golongan warga emas.
“Program sebegini mampu menerapkan keharmonian serta sikap hormat menghormati dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Tahun ini, seluruh masyarakat Cina menyambut ketibaan Tahun Naga iaitu tahun yang akan dipenuhi dengan semangat kekuatan, kesihatan serta membawa nasib yang baik.
Berikutan itu, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, seluruh masyarakat tidak mengira kaum perlu memupuk semangat perpaduan dan kerjasama selaras dengan gesaan Kerajaan Madani hari ini.
“Sebagai warga Malaysia Madani, marilah kita sama-sama meraikan dengan keharmonian di antara kaum yang telah dipupuk sekian lama. Inilah semangat perpaduan dan hormat menghormati yang perlu dipertahankan.
“Diharap sumbangan ini dapat menceriakan lagi sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalangan warga emas terlibat. Saya juga berharap di tahun naga ini semua yang ada di sini mendapat kebahagiaan dalam keluarga,” ujarnya.
Ramanan turut memberikan sumbangan kewangan kepada persatuan berkenaan bagi membolehkannya menjayakan aktiviti-aktiviti komuniti.
Tambahnya, NGO perlu terus memainkan peranan secara aktif untuk sama-sama memupuk perpaduan dan memelihara kebajikan dalam kalangan komuniti menerusi program-program bermanfaat.
“Selaras dengan itu sejumlah 29 peratus daripada peruntukan Parlimen Sungai Buloh atau RM1.13 juta tahun lepas diperuntukan untuk program-program komuniti di Parlimen Sungai Buloh,” katanya. – UTUSAN