BERANANG: Sebanyak 1,467 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh 18 hari pertama tahun ini.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bermula daripada 1 hingga 18 Januari lalu, sebanyak 870 operasi dilaksanakan oleh pihaknya di seluruh negara.
Kata beliau, seramai 9,169 warga asing diperiksa dalam operasi tersebut dan 4,026 daripadanya ditangkap kerana melanggar Akta Imigresen.
“Seramai 42 orang majikan juga ditahan oleh JIM, ini adalah salah satu keutamaan yang kita berikan selain PATI.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak supaya jangan sesekali melindungi dan mengajikan PATI sebab ini adalah satu kesalahan yang jelas di bawah Akta Imigresen.
“Sekiranya dibuat, mereka semua akan menghadapi tindakan daripada pihak JIM,” katanya selepas operasi bersepadu yang dilakukan di sebuah pangsapuri dekat Bandar Tasik Kesuma, di sini.
Untuk rekod, Beranang adalah antara salah satu daripada 220 kawasan ‘hotspot’ warga asing dan PATI di seluruh negara yang dikena lpasti JIM.
Hasil serbuan JIM terhadap seluruh unit di tujuh blok pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma itu, 561 warga asing ditahan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Sementara itu, Ruslin memaklumkan pada tahun lalu sebanyak 38,978 PATI diusir keluar oleh JIM daripada negara.
Beliau berkata, warga asing didapati memulakan perniagaan dan melakukan aktiviti ekonomi sendiri apabila jumlah mereka menjadi semakin ramai di dalam satu komuniti.
“Ini yang kita ambil perhatian, yang mana warga asing mereka tidak boleh berniaga sekiranya tiada kebenaran. Mereka tidak boleh senang-senang buka kedai makan mahupun berniaga di pasar malam kecuali mereka didaftarkan oleh majikan untuk bekerja di situ.
“Sekarang ini beberapa ‘hotspot’ termasuk yang digelar ‘mini Dhaka’, kita akan buat pemeriksaan secara berterusan,” jelasnya.
Jelasnya, PATI mempunyai kecenderungan yang besar untuk menjadikan satu kawasan sebagai ‘tempat’ mereka apabila populasi kumpulan tersebut meningkat.
“Kita nak pecahkan perkara ini, kita tidak mahu lagi di mana-mana penempatan mereka tidak kira menyewa atau (memang) tinggal di situ sehingga membuat pelbagai aktiviti seolah-olah mereka adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, JIM tidak pernah tidur dan sentiasa melakukan pemeriksaan serta melaksanakan operasi bagi menangani masalah kebanjiran PATI di dalam negara ini
“Biarlah mereka (PATI) tidur, di saat mereka nak tidur, kita (akan) datang ketuk pintu rumah mereka. Itu yang paling penting,” tegasnya. – UTUSAN