12,000 jemaah banjiri Program Semarak Subuh

12,000 jemaah banjiri Program Semarak Subuh, solat terpaksa didirikan dua kali

ONN Hafiz Ghazi (barisan ketiga, empat dari kanan) bersama ribuan jemaah membanjiri Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru, pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Program Semarak Subuh yang diadakan di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini mendapat sambutan luar biasa apabila masjid itu dibanjiri lebih 12,000 jemaah.

Kehadiran jemaah yang sangat ramai itu menyebabkan solat Subuh secara berjemaah didirikan dua kali pada pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terharu dengan kehadiran jemaah yang amat menggalakkan bagi menyokong program cetusan ideanya sejak awal tahun ini.

“Semenjak Masjid Sultan Iskandar didirikan, hari ini merupakan hari pertama solat Subuh berjemaah terpaksa didirikan dua kali kerana terlalu ramai yang hadir.

“Syukur Alhamdulillah, lebih 12,000 jemaah hadir mengimarahkan Program #SemarakSubuhJohor #SolatSubuhMacamJumaat bertempat di Masjid Sultan Iskandar.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur, pihak penyumbang dan rakan-rakan pempengaruh lain serta pihak pengurusan masjid yang menjayakan program hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid.

Solat Subuh pertama diimamkan oleh Abdullah Embong manakala solat kedua pula diimamkan oleh Bilal Jihadi Jumadi.

Onn Hafiz berharap agar umat Islam di negeri ini terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

Menteri Besar Johor itu kemudian bertemu dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir selain berswafoto dengan mereka.

Program Semarak Subuh merupakan inisiatif Onn Hafiz yang menyasarkan pelaksanaan program tersebut di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000 di setiap masjid dan surau bermula 5 Januari lalu.

Inisiatif itu melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh negeri pada setiap Jumaat sepanjang tahun ini.

Tinjauan yang dilakukan mendapati jemaah yang hadir solat dalam keadaan hujan renyai di pekarangan masjid, di atas jalan dan di kawasan parkir masjid berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Waqaf An-Nur, Mohd. Bahrin Bakri berkata, ini adalah pertama kali solat Subuh berjemaah didirikan di masjid itu kerana tidak dapat menampung jemaah yang ramai dalam satu masa.

“Masjid ini hanya boleh menampung kapasiti 4,600 orang dalam satu masa dan kita lihat hari ini kehadiran amat mengejutkan. Kita harap kehadiran jemaah untuk menunaikan solat Subuh akan ramai seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya