IPOH: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto dengan tertangkapnya 11 individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah hotel di sini, Sabtu lalu.
Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu diberkas dalam satu seminar pelaburan urus niaga kripto yang dianjurkan sindiket berkenaan.
Tangkapan terhadap kesemua suspek itu menyelamatkan 55 orang warga tempatan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan mata wang kripto.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek yang ditahan itu terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita warga tempatan serta dua lelaki warga Filipina.
Katanya, siasatan mendapati, suspek yang ditangkap bertindak sebagai penganjur, penaja, penceramah dan ejen mencari pelanggan yang giat mempromosikan skim pelaburan semasa seminar berlangsung.
“Hasil risikan dan penyamaran yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak mendapati sindiket yang menggunakan nama Deluxe Crypto Trading itu menawarkan skim pelaburan dalam urus niaga kripto kepada 55 peserta.
“Pelbagai pakej urus niaga ditawarkan dalam seminar tersebut dengan nilai 20 USDT (RM94.58) hingga 10,000 USDT (RM47287.68) selain dijanjikan pulangan pelaburan antara 0.5 peratus sehingga 2.2 peratus setiap hari mengikut kadar modal yang dilaburkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, sindiket berkenaan juga dikesan menggunakan sistem pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikatakan dapat membantu pelabur memperoleh keuntungan secara mudah dan cepat.
Katanya, kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada warga tempatan berusia 40 hingga 60 tahun yang mana mereka tidak begitu memahami urus niaga kripto selain tidak menyedari platform dalam talian yang diwujudkan itu adalah perangkap untuk memperdaya mangsa.
“Sindiket ini telah mula mempromosikan tawaran skim pelaburan Crypto Trading sejak awal bulan ini. Seminar itu terbuka kepada semua di mana tiada bayaran dikenakan terhadap peserta sebaliknya mereka diberikan makanan percuma.
“Malah, bagi mengumpan penyertaan ramai, sindiket itu turut menyediakan cabutan bertuah selain mempamerkan barisan kereta mewah bagi menunjukkan pelaburan yang ditawarkan itu wujud dan berjaya,” ujar beliau.
Tambahnya, dalam serbuan itu, beberapa barangan dirampas antaranya telefon bimbit, komputer riba, tablet, skrip, gegantung dan enam buah kenderaan pelbagai jenis.
“Kesemua suspek direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN