1,000 ekor ikan siakap dijual 90 sen seekor 'licin' dalam masa 40 minit - Utusan Malaysia

1,000 ekor ikan siakap dijual 90 sen seekor ‘licin’ dalam masa 40 minit

ORANG ramai berasak-asak membeli ikan siakap yang dijual pada harga 90 sen seekor di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,000 ekor ikan siakap yang dijual pada harga 90 sen seekor habis ‘licin’ dibeli orang ramai dalam masa 40 minit, hari ini.

Menurut peniaga, Sauffian Sauji, 36, harga promosi itu ditawarkan sempena pembukaan cawangan keempat perniagaannya di Kampung Kuala Ibai di sini.

Pemilik ‘Ikang Flyover’ itu berkata, orang ramai mula beratur bagi membeli hasil laut tersebut seawal jam 6 pagi walaupun jualan hanya bermula pada pukul 8 pagi.

“Untuk jualan hari ini saya memperuntukkan 6,000 kilogram (kg) ikan siakap pelbagai saiz dan menawarkan harga istimewa 90 sen seekor untuk 1,000 ekor pertama.

“Namun setiap orang hanya dihadkan kepada enam ekor ikan bagi setiap pembelian dan 1,000 ekor ikan dengan harga promosi habis tidak sampai sejam.

“Sebaik tamat promosi, saya meneruskan jualan dengan harga biasa iaitu RM10 untuk tiga ekor atau RM4 atau RM6 seekor mengikut saiz,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Sauffian, idea untuk menawarkan harga ‘gila-gila’ itu dibuat sebagai usaha mempromosikan lagi jenama perniagaan hasil laut yang diusahakannya itu.

Ujarnya, jumlah kerugian ditanggung gara-gara harga istimewa jualan ikan siakap itu dianggap sedekah dan kos promosi sempena pembukaan cawangan baharu itu.

“Kami turut menjual hasil laut lain pada harga lebih murah termasuk ketam, sotong dan udang yang diperoleh daripada pembekal di seluruh negara,” katanya.

Pekerja swasta, Muhd. Abdillah Ahmad Muzammil, 41, berkata, dia merupakan pelanggan tetap premis itu di Kampung Padang Midin ekoran harganya yang murah.

“Jika harga pasaran RM15 atau RM16 sekilogram, di sini saya boleh dapat separuh daripada dan hari ini saya beratur jam 7 pagi untuk membeli enam ekor ikan siakap.

“Walaupun hanya seberat 400 gram seekor, kami sebagai pengguna sangat bersyukur jika dapat membeli pada harga murah ketika kos sara hidup meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya