GEORGE TOWN: Sebanyak enam buah syarikat korporat melaksanakan bayaran zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang keseluruhannya berjumlah RM1.17 juta hari ini.
Mereka terdiri daripada Koperasi Tunas Muda Sungai Ara dan Subsidiari yang membayar zakat berjumlah RM640,521.79; CO-OPBANK Pertama Malaysia Berhad (RM464,742); Affin Islamic Bank Berhad (RM250,000).
Selain itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) turut membayar zakat korporat berjumpah (RM111,105.53); Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (RM105,276.87) dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) berjumlah RM100,326.25.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, pihaknya berterima kasih dan menghargai semua pembayar-pembayar zakat korporat itu yang terus bersama-sama ZPP.
Sementara itu, katanya, ZPP turut mengagihkan geran tahunan zakat 2023 kepada lima buah hospital dan sebuah klinik kesihatan yang keseluruhannya berjumlah RM142,000.
Katanya, pengagihan geran itu yang saban tahun dilakukan adalah bagi meringankan bebanan pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital dan diuruskan Jabatan Kerja Sosial Perubatan.
Jelas beliau, Hospital yang menerima agihan zakat dalam bentuk geran iti ialah Hospital Pulau Pinang berjumlah RM80,000; Hospital Seberang Jaya (RM35,000); Hospital Bukit Mertajam (RM10,000); Hospital Kepala Batas (RM10,000); Hospital Sungai Bakap (RM5,000) dan Klinik Kesihatan Barat Daya (RM2,000).
“ZPP berharap dengan hubungan dan kerjasama strategik ini akan dapat meningkatkan kualiti kesihatan para asnaf dalam mendapatkan rawatan dan perubatan terbaik di hospital dan klinik di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis bayaran zakat korporat ZPP dan serahan zakat dalam bentuk geran kepada hospital Tahun 2023, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Dalam pada itu, Amran berkata, pada tahun ini, ZPP telah mencapai usia 29 tahun menjadi amil kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang sebagaimana yang diamanahkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Pelbagai cabaran dan badai dihadapi ZPP dalam melaksanakan tanggungjawab menyampaikan dakwah zakat kepada masyarakat Muslim Pulau Pinang.
“Sungguhpun demikian, ZPP terus bertahan melaksanakan fungsinya berkhidmat menjaga amanah pembayar zakat dan membela hak golongan asnaf dengan penuh gigih dan prihatin,” katanya. – UTUSAN