KEPALA BATAS: Zakat Pulau Pinang (ZPP) komited mendepani isu-isu kefatwaan zakat termasuk persoalan semasa yang timbul dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Halim berkata, sebanyak 16 kertas pemohonan fatwa telah dibentangkan ZPP kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bagi tahun ini.
Jelasnya, permohonan itu bertujuan menyelesaikan persoalan-persoalan kontemporari zakat yang timbul di samping mengemukakan inisiatif baharu bagi operasi kutipan dan agihan zakat agar lebih efektif dan efisien.
“Isu kefatwaan zakat terkini seperti isu-isu kontemporari zakat sentiasa dibahas dan dibincangkan di medan perbahasan ilmiah bagi menghasilkan satu ketetapan asas kewajipan pembayaran dan pengagihan zakat menurut ketetapan syarak,” katanya.
Beliau berucap sempena Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2023 (SIFZA 3.0) Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Peluncuran Buku Isu Zakat Kontemporari di Kepala Batas, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, beliau berharap al-Hady Centre yang berfungsi sebagai Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang terus memainkan peranan dalam melonjakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengurusan institusi kewangan sosial Islam khususnya zakat.
“Saya juga gembira apabila SIFZA 3.0 ini digandingkan dengan Diskusi Buku Isu Zakat Kontemporari yang telah dilancarkan.
“Penerbitan buku sebegini adalah perlu bagi memberikan hebahan dan informasi berkenaan isu-isu ibadat zakat agar masyarakat dapat mengamalkannya dengan sempurna menurut tuntutan syarak,” katanya. – UTUSAN