ZPP agih lebih RM900,000 saguhati, elaun mesyuarat jawatankuasa kariah - Utusan Malaysia

ZPP agih lebih RM900,000 saguhati, elaun mesyuarat jawatankuasa kariah

ROSLAN Ahmad ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Pengemaskinian Data dan Penyerahan Saguhati Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak RM506,200 telah diperuntukkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk diagihkan sebagai pemberian saguhati secara ‘one-off’ kepada seluruh jawatankuasa kariah di negeri ini.

Selain itu, ZPP turut memperuntukkan sebanyak RM418,000 bagi tujuan pembayaran elaun mesyuarat jawatankuasa kariah tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Roslan Ahmad berkata, peruntukan yang disediakan itu meliputi kenaikan kadar bayaran yang diberi kepada pemimpin di setiap kariah yang berkenaan.

Kata beliau, kenaikan kadar bayaran antara RM100 hingga RM200 itu melibatkan jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi kariah serta Bendahari manakala Setiausaha kariah pula kekal dengan kadar bayaran yang sama.

“Secara dasarnya, kerajaan negeri amat mengambil berat dan prihatin terhadap hal-ehwal serta pembangunan syiar agama Islam di Pulau Pinang.

“Dalam Belanjawan Pulau Pinang 2023 yang lalu juga, sebanyak RM75.08 juta secara keseluruhannya telah dibelanjakan dalam usaha memartabatkan agama Islam di negeri ini,” katanya pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Pengemaskinian Data dan penyerahan saguhati berkenaan di Seberang Jaya, di sini semalam.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali.

Dalam pada itu, seramai 130 orang Sukarelawan Pengemaskinian Data yang dilantik pada 30 Januari lalu turut diberikan penghargaan pada majlis tersebut.

Amran berkata, antara tugas sukarelawan tersebut ialah membantu ZPP mengemas kini data asnaf fakir dan miskin di peringkat kariah masing-masing termasuk data bagi penerima Saguhati Hari Raya sebelum ini.

“Data ini kita kena ‘update’ (kemas kini) dari semasa ke semasa sebab ada antara penerima ini yang dah meninggal dunia, ada yang mungkin sudah tidak tinggal di sini (Pulau Pinang) kerana ikut anak-anak tinggal di Kuala Lumpur dan sebagainya.

“Jadi, data itu perlu sentiasa dikemas kini supaya kita dapat pastikan zakat yang diagih sampai kepada asnaf yang betul-betul layak menerimanya dan insya-Allah data ini juga akan digunakan untuk pemberian bantuan sempena Ramadan dan hari raya nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya