SEMENYIH: Yayasan Kemanusiaan Malaysia (MHF) berhasrat mencipta impak baharu landskap pendidikan Malaysia menerusi penganjuran SuperCamp dengan memperkenalkan program pendidikan terbaik di luar bilik darjah.
SuperCamp merupakan jenama pendidikan global yang ditubuhkan pada tahun 1982 oleh seorang professional hartanah, Bobbi DePorter di San Francisco, Amerika Syarikat yang percaya bahawa kanak-kanak yang diperkasakan dengan asas ‘8 Kunci Kecemerlangan’ boleh mengukuhkan motivasi mereka untuk terus belajar.
Pengarah Eksekutif MHF, Henry Teh Kok Kheng berkata, kanak-kanak tidak mempunyai kemahiran hidup yang lazimnya dipelajari semasa memasuki fasa dewasa.
“Kita perlu mencetuskan kesedaran yang boleh disesuaikan dengan perwatakan kanak-kanak ini.
“Sebab itu, kami anjurkan SuperCamp yang menyatukan pelajar daripada pelbagai latar belakang akademik yang boleh dibentuk dengan keperibadian dinamik dan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mahu mencungkil bakat baharu di Malaysia menerusi program SuperCamp, sama ada mereka menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik ataupun kemahiran vokasional.
Ini kerana, katanya, negara ini memerlukan dua golongan ini, maka kanak-kanak dalaam lingkungan usia 10 hingga 19 tahun adalah fasa paling penting untuk membentuk perwatakan mereka apabila dewasa kelak.
MHF menjalinkan usahasama dengan Teach for Malaysia (TFM) iaitu sebuah organisasi yang komited terhadap kesamarataan dalam pendidikan.
Seramai tujuh pelajar berkelayakan daripada golongan kurang berkemampuan dikenal pasti bakal menerima biasiswa untuk menyertai SuperCamp ini.
“Kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi alasan yang menghalang mereka untuk terus maju dan mencapai kejayaan pada masa akan datang.
“Kami berharap, bermula dari tahun 2024, kami dapat menambah bilangan penerima biasiswa ini kepada sekurang-kurangnya 50 pelajar setiap tahun,” tambah Henry Teh.
Pada masa sama, Teh turut berharap ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas dapat menyertai SuperCamp sebagai satu jalan untuk meningkatkan kecemerlangan mereka.
Ini kerana, katanya, kaedah pembelajaran SuperCamp telah diterima pakai di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat sebagai sebahagian kurikulum yang menjamin landskap pendidikan yang lebih terangkum dan boleh dinikmati oleh semua orang.
“Sejajar dengan peningkatan kesedaran terhadap keperluan khas di Malaysia, kita perlu mengambil kira kanak-kanak ini sebagai anggota masyarakat dan menyediakan kemahiran hidup supaya mereka boleh menjalankan kehidupan normal.
“Pasti ramai tidak menyangka bahawa kanak-kanak yang mengalami disleksia dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif sebenarnya menunjukkan kecemerlangan dalam elemen SuperCamp kerana mereka boleh menjadikan keunikan mereka sebagai kekuatan tersendiri,” katanya.
SuperCamp Malaysia kali ini disertai 23 pelajar dari sekolah rendah dan menengah di seluruh dunia seperti Singapura, Brunei, Vietnam dan Kanada. – UTUSAN