KUALA LUMPUR: Whoscall Malaysia menawarkan pemberian 1 juta akaun premium bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa penipuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, melalui Aplikasi anti-scam, Whoscall mempunyai integrasi antara sistem Semakmule milik JSJK yang setakat ini sebanyak 318,147 nombor telefon scammer disenaraikan.
Katanya, sejak koloborasi itu antara kedua-dua pihak pada awal tahun ini, ia menyaksikan penurunan sebanyak 50 peratus iaitu hanya 34,996 panggilan dijawab berbanding 66,810 panggilan direkodkan.
“Ramai masih terpengaruh apabila jawab telefon dan mudah ditakutkan scammer, malah ada pelaburan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit. (Penipuan) puluhan ribu dianggap biasa sekarang ini.
“Whoscall kini menawarkan 1 juta akaun Whoscall Premium bagi penggunaan selama setahun. Hanya perlu mengisi kod ‘PDRMlawanscams’. Melalui program ini pihak Whoscall turut menampung kos RM8.7 juta.
“Pengguna akan menikmati ciri-ciri khas seperti ID Pemanggil, panggilan secara automatik, pengkalan data yang dikemas kini secara automatik dan pengimbas URL tanpa iklan,” katanya selepas merasmikan Karnival Scam Free Malaysia di Pavillion Bukit Jalil, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob.
Tambah Ramli, Karnival tersebut adalah kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia (CSM), Bank Simpanan Nasional, dan beberapa universiti tempatan.
“Adalah diharapkan mesej pencerahan pencegahan serta informasi terkini jenayah komersil dapat disebarkan dengan meluas melalui karnival ini.
“Hal ini penting bagi memastikan masyarakat dapat melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan jenayah komersil,” katanya. – UTUSAN