SHAH ALAM: Kedutaan Palestin mengingatkan orang ramai berwaspada dan tidak terpedaya membeli produk palsu yang kononnya datang dari negara itu dalam pasaran Malaysia.
Lambakan produk seperti minyak zaitun dan sabun kesihatan itu dikesan kian dijual secara meluas termasuk secara dalam talian sejak Oktober lalu.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, hanya beberapa syarikat di Malaysia memperoleh sijil pengesahan eksport daripada kementerian negara itu setakat ini, bagaimanapun pihak tidak bertanggungjawab dikesan banyak menjual produk yang didakwa asli dari Palestin.
“Perkara itu dianggap serius kerana kita tidak mengetahui bahan atau kandungan sebenar produk berkenaan sekali gus meragukan pengguna.
“Justeru, saya memohon rakyat negara ini memeriksa kesahihan produk itu terlebih dulu sebelum membelinya bagi mengelak ditipu,” katanya ketika selepas merasmikan Kempen ‘Palestin di Setiap Rumah’, hari ini.
Kempen anjuran syarikat Al’Ard Far East itu bertujuan menyatakan sokongan menerusi pembelian produk asli keluaran Palestin dan hasil jualannya isalurkan terus kepada rakyat negara tersebut.
Beliau menambah, cara terbaik membantu rakyat Palestin adalah membeli produk asli keluaran mereka.
“Rakyat Palestin bukan hanya mahu meraih simpati namun melakukan perniagaan sebagai usaha membangunkan ekonomi. Menerusi perniagaan, segala sokongan kewangan dapat disalurkan ke negara kami dengan telus tanpa sebarang ketirisan,” ujarnya.
Justeru, Walid menegaskan pihaknya membantah sebarang perbuatan yang memperkudakan sokongan dan empati rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin demi meraih keuntungan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Al’Ard, Subhi Anabtawi berkata, pihaknya dihubungi salah satu pengeluar sabun terbesar di Palestin iaitu syarikat Al Jamal, baru-baru ini.
“Mereka meminta bantuan supaya membanteras perbuatan menjual produk palsu menggunakan jenama mereka yang berleluasa di platform jualan dalam talian.
“Al’Ard bertapak di Malaysia sejak hampir 10 tahun lalu dan kami akan mempromosikan produk asli Palestin bagi melawan penipuan ini,” jelasnya. – UTUSAN