KUALA LUMPUR: Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin, 40, yang tidak sedarkan diri Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam semalam waktu Malaysia).
Berita pemergian Allahyarham dikolngsikan Adiknya Siti Nor Hazlinda, 39, yang turut memaklumkan pendarahan otak sebagai punca kematian.
Kata Hazlinda, suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli kini dalam perbincangan dengan pihak kedutaan Malaysia di England untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.
“Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos. Suami arwah sedang berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di sana.
“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberikan sumbangan kepada keluarga arwah. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan,” katanya.
Berkongsi lanjut, Hazlinda memaklumkan pendarahan otak yang dialami arwah diakibatkan oleh oleh sel kanser yang merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan kakaknya rebah sebelum tidak sedarkan diri.
Katanya, percutian ke London menjadi hasrat yang lama disimpan arwah yang mahu meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.
“Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia cakap dah janji nak membawa anak-anaknya bercuti.
“Arwah memang nak menggembirakan mereka. Malah, itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak,” komgsinya.