PETALING JAYA: Seorang warga emas ditemukan maut di rumahnya di Kampung Kerdas, dekat sini kelmarin selepas lima hari tidak kelihatan oleh jiran tetangga.
Mayat wanita berkenaan ditemukan selepas seorang lelaki yang juga jiran mangsa memaklumkan tidak melihat wanita berusia 73 tahun itu keluar rumah.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, justeru itu, lelaki berkenaan menghubungi pihak polis dan bomba untuk mendapat bantuan pada pukul 5.30 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak sedarkan diri di ruang tamu. Penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia.
“Wanita tersebut dimaklumkan hanya tinggal berseorangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, mangsa mempunyai sejarah penyakit kencing manis, asma dan sakit tulang belakang sejak beberapa tahun yang lalu.
“Mangsa juga pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh. Pihak polis mengesahkan tiada sebarang unsur-unsur jenayah,” ujarnya. – UTUSAN