GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi amaran warga asing tidak dibenarkan memohon permit sementara bermusim bagi gerai bazar Ramadan, gerai sempena Tahun Baharu Cina dan Thaipusam tahun depan.
Pengerusi Gantian Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang berkata, selain itu warga asing juga tidak dibenarkan menguruskan perniagaan di mana-mana gerai yang memperoleh permit bermusim.
“Sekiranya pemantauan kami mendapati terdapat warga asing yang mengendalikan perniagaan di gerai-gerai yang memperoleh permit sementara bermusim, rampasan barang-barang perniagaan akan dilaksanakan serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, selain itu, MBPP juga meminta pemilik-pemilik gerai makanan yang akan beroperasi di bazar Ramadan, gerai sempena Tahun Baharu Cina dan Thaipusam untuk memastikan pekerja mereka yang akan mengendalikan jualan makanan mempunyai suntikan typhoid (Ty2) yang sah tempoh.
”Ada antara pemilik gerai apabila kita jalankan pemeriksaan mereka memberikan alasan tidak tahu tentang keperluan setiap pengendali jualan makanan perlu mempunyai suntikan Ty2 yang sah tempoh.
”Jadi, kita meminta mereka bersiap sedia dan memastikan pekerja mereka mempunyai suntikan Ty2,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya sewaktu pemeriksaan dijalankan dan pihak MBPP mendapati pengendali makanan tidak mempunyai suntikan Ty2 yang sah, denda berjumlah RM20 seorang akan dikenakan.
Dalam pada itu, permohonan permit sementara bermusim bagi Thaipusam 2024 akan dibuka mulai 24 Disember hingga 24 Januari depan, manakala permohonan permit sementara bermusim bagi Tahun Baharu Cina 2024 pula dibuka mulai 24 Disember hingga 9 Februari tahun depan.
”Permohonan permit sementara bermusim bagi bazar Ramadan 2024 pula akan dibuka mulai 24 Disember ini hingga 29 Februari tahun depan.
“Kelulusan bagi permohonan permit ini akan mengambil masa sekitar tiga hingga 14 hari dan kita galakkan semua peniaga memohon permit bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil,” katanya. – UTUSAN