BUTTERWORTH: Seorang pekerja ladang maut selepas dipercayai terjatuh di dalam sebuah tandas di ladang tanaman di Ara Kuda, dekat sini, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, (KUP) Zolkifli Ishak bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tadek Gelugor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 8.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa lelaki warga asing berusia 40-an tidak sedarkan diri dan terperangkap di dalam tandas terbabit.
“Anggota bomba bertindak membuka pintu tandas dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang lengkap berpakaian ditemui tertiarap di lantai tandas dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kes terbabit kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN