Wanita maut ditikam berkali-kali hingga kena jantung - Utusan Malaysia

Wanita maut ditikam berkali-kali hingga kena jantung

Wanita ditikam
PETUGAS perubatan memeriksa mayat seorang wanita sebelum mengesahkan kematiannya dalam satu kejadian bunuh dekat Taman Chi Liung di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang wanita menemui ajalnya apabila ditikam berkali-kali pada bahagian hadapan dan belakang badan sehingga menembusi jantungnya dalam satu kejadian dekat Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, di sini, petang semalam.

Wanita malang warga tempatan berusia 26 tahun itu dipercayai ditikam oleh seorang lelaki menggunakan sebilah pisau sebelum dibawa masuk ke tempat duduk hadapan sebuah kereta jenis Chevrolet berwarna perak.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis menerima maklumat daripada seorang wanita tempatan lain yang membuat panggilan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa pada hari kejadian, dikatakan bertemu dengan suspek kira-kira pukul 1.20 petang dekat sebuah restoran di Jalan Bayu Tinggi 6 di kawasan berkenaan untuk makan tengah hari.

“Selesai makan tengah hari, suspek dan simati pergi ke lokasi parking kereta di Jalan Batu Tinggi 5. apabila sampai di kereta berkenaan, suspek menikam beberapa kali pada badan simati menggunakan pisau dan kemudian memasukkannya dalam kereta sebelum beredar.

“Suspek dipercayai terus ke rumahnya di kawasan Jalan Sungai Nibong 5, Kapar dan meletakkan kereta di hadapan rumahnya. Suspek cuba mengejutkan mangsa, tetapi tidak berjaya, kemudian suspek bertindak mencederakan diri sendiri dengan menikam bahagian badan dipercayai menggunakan pisau yang sama,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, susulan menerima laporan menerusi panggilan MERS 999 daripada pengadu, sepasukan polis dari Cawangan D9, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, tiba di rumah suspek kira-kira pukul 4.20 petang sebelum menangkap suspek warga tempatan berusia 44 tahun itu.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati seorang perempuan berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta suspek dalam keadaan tidak sedar diri. Pihak ambulans yang kemudian sampai di lokasi tempat kejadian mengesahkan kematiannya.

“Siasatan di tempat kejadian yang dijalankan bersama Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek,” jelasnya.

Katanya lagi, suspek ditangkap dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 25 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 kali sebatan.

“Bagaimanapun, suspek tidak mempunyai rekod lampau. Bedah siasat terhadap simati yang dijalankan hari ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mendapati terdapat banyak kesan tikaman. Punca kematian adalah disebabkan kesan tikaman di dada yang tembus ke jantung.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya