KUALA LUMPUR: Penerbit Semi Final Muzik Muzik 38 (SFMM38), Muhammad Sufian Che Isa berharap penyanyi Wani Kyrie tidak berputus asa hanya kerana lagu nyanyiannya, Kamu Kamu gagal ke Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38).
Sufian, yang dihubungi Utusan Malaysia semalam berkata, penyanyi tersebut perlu menerima kegagalan itu dari sudut positif dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik di masa akan datang.
“Sebenarnya saya tak ada hak nak komen tentang perkara ini. Tetapi sebagai orang lama dalam dunia penyiaran, saya nasihatkan dia agar tidak cepat kecewa dan berputus asa.
“Teruslah berkarya, hasilkan lagu yang lebih baik di masa akan datang. Insya-Allah, mungkin ada rezeki untuk sekali lagi ke SFMM dan sekali gus ke AJL di masa akan datang,” katanya.
Sufian diminta mengulas tentang tindakan Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah yang pada semalam meluahkan rasa kecewa kerana gagal ke AJL38.
Penyanyi itu menerusi satu hantaran di Instagram mengakui sebak atas kegagalan tersebut.
“Wani jarang nak meluahkan apa-apa tentang perasaan Wani sendiri di platform macam ni tapi hari ini jujur rasa sebak sangat.
“Sebab sedar tak sedar dah genap 8 tahun semenjak kali pertama munculnya Wani Kayrie dengan lagu Jangan Jangan (2015) dan berjaya masuk pencalonan Muzik Muzik untuk kali pertama.
“Dan setiap tahun berikutnya, Wani selalu mencuba nasib untuk loloskan diri bertanding lagu sendiri di salah satu pentas berprestij di Malaysia namun tidak ada rezeki lagi sehingga ke hari ini,” tulisnya di Instastory.