Wajib kuasai bahasa Melayu - Saifuddin

Wajib kuasai bahasa Melayu – Saifuddin

KETUA Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi menyerahkan buku "Setahun Menerajui Kementerian Dalam Negeri" kepada Saifuddin Nasution Ismail semasa Sambutan Setahun MADANI di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap warga Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu dan ia satu kewajipan bagi mengelak timbul masalah terutama ketika memperbaharui pasport dan sebarang aktiviti rasmi berkaitan kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara asasnya, setiap warganegara Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu, malah ia sudah terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kewajipan seseorang warga untuk kuasai bahasa Melayu tidak boleh kita kompromi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Setahun KDN Madani dan Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didakwa mengherdik seorang wanita di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, seorang wanita tular di media sosial apabila berkongsi pengalaman memperbaharui pasport di UTC Johor.

Wanita itu mendakwa diherdik oleh seorang pegawai lelaki di pejabat imigresen berkenaan kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika mahu memperbaharui pasport anak perempuanya.

Justeru, kata Saifuddin, tindakan diambil pegawai berkenaan berkemungkinan kerana wujudnya unsur syak wasangka status kewarganegaraan individu berkenaan apabila tidak fasih bahasa Melayu.

“Bagi kita sudah terpahat dalam Perlembagaan negara bahawa bahasa Melayu itu bahasa rasmi, namun bahasa lain bebas dipelajari dan digunakan. Jadi asasnya disitu,” katanya.

Beliau turut memberi contoh sebelum ini pernah berlaku syak wasangka terhadap individu kerana mirip muka ibu bapa tidak menyamai wajah ibu bapa.

Bagaimana, katanya, selepas siasatan dilakukan wujud pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN