MELAKA: Logam yang kelihatan kusam, tidak menarik dan sukar dibentuk sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan kepada usahawan yang memiliki daya pemikiran kreatif.
Pengasas De Legend Craft Enterprise, Mohamad Azrai Hussin berkata, dia memulakan perniagaan kraf pada 2006 selepas menimba pengalaman selama empat tahun di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Katanya, antara produk yang dihasilkan seperti cenderamata korporat berasaskan piuter yang disadur dengan plat emas dan perak agar lebih menarik.
“Kita banyak menerima tempahan cenderamata korporat daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Kira-kira 80 peratus kraf yang saya hasilkan adalah untuk pasaran Melaka.
“Motif yang saya ketengahkan adalah yang beridentitikan Melaka seperti bunga kesidang dan roda kereta lembu. Bagaimanapun saya bersedia untuk memenuhi permintaan pelanggan jika mereka mempunyai rekaan tersendiri.
“Setakat ini pewter paling mahal yang saya pernah hasilkan berharga RM41,000 sebuah iaitu bentuk istana yang mempunyai 99 tiang untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Mohamad Azrai, dia kini tidak menang tangan dalam menguruskan tempahan pelanggan yang semakin meningkat terutama dari Johor, Selangor dan Putrajaya.
Menurutnya, disebabkan itu dia menangguhkan hasrat untuk mempromosi kraftangannya ke luar negara bagi memenuhi permintaan dalam negara terlebih dahulu.
“Semasa dengan Kraftangan Malaysia saya ada pergi ke luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Masa itu kita bukan pergi untuk mencari tempahan tetapi untuk mempromosikan produk kraf tempatan.
“Saya tangguh dahulu hasrat ini memandangkan pengeluaran dalam negara pun masih banyak yang perlu disiapkan. Jika ada penambahan staf mungkin saya akan pertimbangkan semula,” ujarnya.-UTUSAN