LUMUT: Kubur mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada Ogos lalu yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam Fasa 3C Seri Manjung di sini, dibina pusara dan batu nisan baru-baru ini.
Sumbangan membuat pusara dan batu nisan di kubur mangsa nahas itu, Komander (B) Shaharul Amir Omar dibuat oleh usahawan asnaf yang menerima bimbingan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kursus pembuatan pusara dan batu nisan.
Proses pembinaan pusara melibatkan penyediaan kepok dan peletakan batu nisan di kubur tersebut.
Shaharul Amir, 49, seorang daripada 10 orang iaitu lapan berada dalam pesawat dan masing-masing seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal, yang maut dalam nahas di Persiaran Elmina, Shah Alam, Selangor, kira-kira pukul 2.30 petang 17 Ogos lalu.
Adik Shaharul Amir iaitu Hairul Nizat, 46, terharu dengan sumbangan yang dihulurkan kepada keluarga mereka.
“Pembinaan pusara ini dapat menjadi kenangan dan sejarah kepada kami sekeluarga,” ujarnya.
Turut hadir ialah ibu arwah, Che Ana Abdullah, 67, adik beradik yang lain serta anak-anak arwah.
Dalam pada itu, Pengurus Unit Pembangunan Asnaf MAIPk, Noraizad Rosli, menjelaskan seramai enam peserta terdiri daripada golongan asnaf menyertai program perintis kursus pembuatan pusara dan batu nisan tahun ini.
Jelasnya, kursus selama enam bulan itu dikendalikan dengan kerjasama Fitrah Enterprise di bawah Pengarah Urusannya, Baharudin Hassan, yang juga ikon usahawan asnaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Beliau memberitahu, enam usahawan itu masing-masing tiga berasal dari Ipoh dan Perak Tengah, kini sudah mula menawarkan perkhidmatan ke seluruh negeri, bukan sahaja dalam pembinaan pusara tetapi juga proses membaik pulih pusara sedia ada.
Jelasnya, pembinaan pusara mangsa nahas pesawat tersebut serta peletakan batu nisan di kubur golongan asnaf di tanah perkuburan sama adalah sebahagian khidmat masyarakat yang diberikan oleh usahawan terlibat.
Menurutnya lagi, MAIPk menyediakan semua kemudahan dalam bentuk geran kepada golongan asnaf terlibat agar mereka dapat keluar daripada kelompok tersebut menerusi peningkatan pendapatan.
Ujarnya, difahamkan pendapatan menerusi perniagaan tersebut mampu memberi pulangan sekitar RM5,000 sebulan. – UTUSAN