PUTRAJAYA: Masyarakat di negara ini diseru untuk mengurangkan acara sambutan Tahun Baharu 2023 dengan sebarang acara yang amat sinonim dengan kegembiraan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar malah menasihati semua pihak agar tidak terlibat dalam apa-apa acara yang keterlaluan sehingga mengorbankan nilai-nilai akhlak serta adab sopan.
Pada masa sama, beliau menyeru agar terus cakna dengan isu kemanusiaan di Gaza, Palestin.
“Teruslah kita membantu dalam apa jua kemampuan dan mendoakan saudara-saudara di Palestin yang sedang menghadapi kezaliman dan kerakusan rejim Zionis Israel.
“Sebagai menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin termasuk saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan ujian banjir, di ambang Tahun Baharu 2024, marilah kita mengambil kesempatan ini untuk berdoa sepenuh hati agar diberikan kekuatan dan ketabahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Na’im turut memohon masyarakat mendoakan seluruh umat yang sedang berhadapan dengan penindasan dan kezaliman.
Katanya, ini termasuk mendoakan rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan bencana banjir sehingga menyebabkan mereka kehilangan tempat berteduh dan terpaksa dipindahkan.
Pada masa sama, pihaknya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam membantu kebajikan mangsa yang terjejas.
“Semoga semua mangsa yang terlibat diberikan kekuatan agar dapat kembali membina semula kehidupan mereka.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berterima kasih atas dedikasi pasukan petugas barisan hadapan yang tanpa penat lelah membantu dan menyelamatkan mangsa yang terjejas dengan musibah banjir,” katanya. – UTUSAN