PETALING JAYA: Syarikat rakaman, Rocketfuel Entertainment menjelaskan pemilihan penyanyi, Nadeera menyanyikan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SSFM) adalah perlu bagi menghormati acara pertandingan berprestij itu.
Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu tidak buat secara melulu, sebaliknya melalui proses perbincangan menyeluruh.
“Pihak Rocketfuel Entertainment telah berusaha mencari pengganti yang sesuai untuk menyanyikan lagu ‘Astana’.
“Penyanyi Nadeera yang juga juara program Big Stage terbaru tahun ini telah dipilih setelah pelbagai perbincangan yang dilakukan bagi meneruskan pertandingan ini.
“Nadeera merupakan calon yang amat sesuai untuk membawakan lagu ‘Astana’ dan memastikan lagu ini dinyanyikan dengan seadilnya,” katanya.
Jelas syarikat itu lagi, mereka sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak termasuklah pencipta lagu, Amira Othman dan Syamel yang bukan lagi di bawah pengurusan mereka.
“Pihak Rocketfuel Entertainment menghormati keputusan pihak pengurusan penyanyi asal lagu ‘Astana’ untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini.
“Artis lain iaitu Amira Othman dan juga Syamel yang tidak lagi berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment bersetuju membawa lagu nyanyian mereka di pentas SFMM.
“Kami sentiasa bersedia dan terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang sudi bekerjasama bagi membolehkan penyanyi asal membawa hasil karya mereka di pentas SFMM,” katanya lagi.
Sebelum ini, pelbagai spekulasi dan persoalan timbul apabila penyanyi Nadeera menggantikan Ernie Zakri menyanyikan lagu ‘Astana’ semasa pengumuman senarai lagu di SFMM.
Dalam kenyataan sebelum ini, Ernie menafikan khabar angin ada pihak yang mendakwa dia sengaja menarik diri daripada terlibat daripada pertandingan SFMM.