Undang-undang anti-Ali Baba hukum rakyat Malaysia sewa lesen kepada warga asing - Utusan Malaysia

Undang-undang anti-Ali Baba hukum rakyat Malaysia sewa lesen kepada warga asing

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Undang-undang anti-Ali Baba yang akan diperkenal kerajaan membolehkan tindakan diambil kepada rakyat negara ini yang ‘menyewakan’ lesen perniagaan kepada pekerja asing.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, isu ‘Ali Baba’ yang semakin berleluasa berpunca akibat lambakan pekerja asing apabila negara terlalu bergantung kepada mereka terutama bagi sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Tanya majikan, majikan kata orang kita tidak mahu buat kerja dalam industri tertentu.

“Yang berlaku sekarang adalah kesan dari berpuluh tahun yang lalu. Apabila pekerja asing sudah ramai, orang kita pula pergi sewakan dan bagi lesen (dengan cara Ali Baba) untuk mereka buat perniagaan.

“Sebab itu, akta anti-Ali Baba membolehkan tindakan diambil kepada rakyat Malaysia (yang) ‘mengalibabakan’ lesen dan lain-lain kepada pekerja asing tanpa menepati syarat-syarat,” katanya dalam hantaran di aplikasi X hari ini.

Sehubungan itu, kata Rafizi, antara langkah mengurangkan kehadiran buruh asing dalam negara adalah menetapkan sasaran pengurangan pekerja sedemikian secara berperingkat menjelang 2030.

“Kementerian Ekonomi yang merangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, kerajaan dilaporkan akan memperkenal undang-undang anti-Ali Baba dalam usaha menghapus amalan berkenaan dalam sektor ekonomi di negara ini.

Rafizi berkata, pengenalan undang-undang itu perlu dibuat bagi memastikan usaha menghapuskan amalan Ali Baba tidak dibuat secara cakap kosong, sebaliknya menerusi akta khusus.

Katanya, penyelesaian menyeluruh dan berstruktur perlu bagi menghentikan budaya Ali Baba, selain negara dianggar mengalami kerugian antara RM17 juta hingga RM18 juta susulan amalan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan berkata, kerajaan dalam proses merangka dasar anti-Ali Baba bagi menangani kesan negatif budaya itu terhadap ekonomi.

Katanya, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengkaji, merangka dasar serta strategi perundangan bersesuaian bagi membanteras kegiatan berkenaan.

Pada 21 Disember lalu, media melaporkan, kira-kira 1,000 anggota dan pegawai polis Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ dalam operasi khas membanteras warga asing di Jalan Silang di sini.

Kepungan bermula pada pukul 11 pagi itu bagi menyerbu kebanjiran warga asing dilihat semakin ‘besar kepala’ membuka perniagaan selain ‘berlagak’ seperti warga tempatan.

Difahamkan serbuan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.

Kebanyakan warga asing membabitkan warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.

Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.

Sekurang-kurangnya 500 warga asing ditahan sebelum dibawa Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses semakan dokumentasi.

Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan hanya 20 peratus pekerja asing menjelang 2030 bagi memastikan semua majikan dan pemain industri mengutamakan tenaga kerja tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya