PETALING JAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Majlis Penghargaan Rakan Industri 2023 (MPRI’23) raikan 130 pemain industri bagi menyokong peranan dan sumbangan pihak itu kepada pembangunan dan pencapaian universiti.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, majlis penghargaan tersebut sebagai meraikan semua yang terlibat dalam memperkasakan agenda universiti termasuk ahli akademik.
Katanya, majlis itu bertujuan menghargai dan mengiktiraf pemain industri yang telah banyak membantu UMT dalam menjayakan inisiatif universiti bagi pemerkasaan bakat, pembangunan pelajar, kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran serta keunggulan penyelidikan & inovasi.
“UMT sememangnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Tidak dilupakan, penglibatan para akademik UMT yang memperhebat rangkaian kerjasama dengan pihak industri turut diraikan dalam majlis dalam majlis ini,” katanya dalam satu kenyataan.
MPRI’23 merupakan pentas tertinggi anjuran UMT. Program tersebut diadakan setiap dua tahun bagi mengukuh jalinan kerjasama antara pemain industri dan UMT.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, penglibatan pihak industri amatlah dialu-alukan dalam usaha melonjakkan manfaat, kepakaran dan pengalaman agar dapat mencapai semua aspek khususnya peningkatan peratusan siswazah yang memperoleh gaji premium.
Katanya, UMT sememangnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Lima inisiatif pemerkasaan pelajar telah dilaksanakan sebagai nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa iaitu Program Penjana KPT-CAP Smart Logistician, Program Work Based Learning (WBL), Program Integrated PhD (IPhD), Pelantikan Malim Industri, Program CEO@Faculty.
“Untuk rekod, UMT telah melaksanakan sebanyak 95 projek dengan kerjasama rakan industri melalui geran penyelidikan industri melibatkan peruntukan berjumlah RM7,580,259.98,” katanya. –UTUSAN