UMNO Terengganu ikrar beri sokongan kepada Rozi - Utusan Malaysia

UMNO Terengganu ikrar beri sokongan kepada Rozi

MOHD. ISKANDAR JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : UMNO Terengganu berikrar akan memberi sokongan penuh kepada pengerusi baharu yang dilantik iaitu Datuk Rozi Mamat untuk mengemudi parti itu berdepan cabaran Pilihan Raya Umum Ke-16 dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, pelantikan Rozi sangat tepat pada masanya kerana kepimpinan UMNO negeri ketika ini berada di titik paling lemah dan memerlukan perubahan baharu yang lebih segar.

Menurutnya, UMNO Terengganu akan sentiasa menyokong penuh kepimpinan Rozi yang berdepan cabaran besar kerana mengambil alih kepimpinan dalam situasi parti itu tidak memiliki walau satu kerusi pun di Terengganu ketika ini.

“Sudah pasti matlamat kepimpinan baharu ini nanti ialah untuk mengembalikan semula UMNO ke landasan yang betul agar mendapat tempat di hati rakyat Terengganu

“Kita percaya Rozi mampu mengemudi UMNO Terengganu dengan baik melalui sokongan pemimpin-pemimpin yang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, UMNO dalam satu kenyataan memberitahu, Rozi dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor.

Mengulas lanjut, Mohd. Iskandar berkata, Rozi juga perlu menampilkan lebih banyak muka-muka baharu dalam kepimpinan UMNO Terengganu dan melantik golongan itu untuk mengisi beberapa jawatan strategik yang ada demi mencapai matlamat yang diinginkan.

“Jawatan-jawatan ini perlu diberi kepada individu yang layak mengikut pengalaman, latar belakang dan kemahiran mereka.

“Sudah tiba masanya jawatan-jawatan dalam UMNO tidak lagi boleh dijadikan ‘hadiah’ atau mekanisme untuk meletakkan pemimpin senior dalam parti tanpa mengambil kira kemampuan dan kebolehan mereka.

“Jika perkara ini dapat dilaksanakan, kita yakin UMNO Terengganu mampu pulih di bawah kepimpinan Rozi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya