UMNO elak dipatuk ular dua kali tempat sama

UMNO elak dipatuk ular dua kali tempat sama

LOKMAN NOOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun Pas terbuka bekerjasama dengan UMNO, namun parti itu mengambil sikap tidak sesekali dipatuk ular di tempat sama dua kali. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasinya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, UMNO sudah memberi peluang kepada Pas untuk bersama dan sudah ‘bertahalufsiasi’ atau bekerjasama dengan kepentingan Islam dan Melayu dengan parti itu. 

Malangnya, beliau berkata, Pas mengkhianati UMNO ketika bermula Muafakat Nasional (MN) apabila mereka menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa pengetahuan UMNO. 

“Pengkhianatan ini diteruskan dengan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mereka tidak melakukan apa-apa apabila Tan Sri Muhyiddin, menikam belakang dan cuba menganiaya pimpinan kita. 

“(Jadi), tidak ada sebab sekarang ini untuk UMNO berganjak meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan bersama Pas. 

“Pendirian kita teguh. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli parti yang hadir Perhimpunan Agung UMNO telah pun memutuskan untuk kekal bersama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Pas tidak menolak kerjasama dengan UMNO kerana parti itu tidak pernah mengenepikan agenda penyatuan ummah.  

Lapor sebuah portal, Tuan Ibrahim berkata, kerjasama boleh dilakukan dengan sesiapa sahaja melalui Perikatan Nasional (PN) sebagai parti utama dan sebarang kerjasama politik mestilah dipersetujui oleh Majlis Syura.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, ketetapan untuk kekal bersama PH itu juga mengambil kira akibat daripada dasar memecahbelahkan orang Melayu yang dilakukan oleh penasihat Pas di empat buah negeri iaitu Tun Dr. Mahathir. 

Katanya, ia apabila hari ini tidak ada satu pun parti politik Melayu yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa mendapat sokongan daripada parti bukan Melayu.  

“Sehubungan itu, kami yakin untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam, UMNO hanya boleh memastikan ia terjamin sekiranya UMNO berada dalam kerajaan yang stabil. 

“Kerajaan yang stabil bukan hanya kerajaan yang 100 peratus Bumiputera, (tetapi) kerajaan yang stabil adalah sama seperti kerajaan di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang didukung oleh masyarakat berbilang kaum. 

“(Jadi) hari ini PH mendapat dukungan daripada masyarakat bukan Melayu dan UMNO sebagai parti terbesar di negara ini, dari segi jumlah keahlian khususnya orang Melayu telah membuat pilihan yang tepat bagi memastikan kemajmukan kerajaan yang memerintah Malaysia mampu untuk mendapat dua per tiga dan sekali gus mampu memberikan jaminan kepada pelabur-pelabur bahawa kerajaan tidak akan bertukar seperti mana yang berlaku dalam penggal Parlimen lepas,” katanya. 

Tambah beliau, ia juga dapat membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) , pertambahan peluang pekerjaan yang boleh membantu mengurangkan kadar pengangguran. 

“Pertumbuhan ekonomi sudah pasti akan dapat diusahakan supaya ia lebih pesat membangun yang akhirnya akan mengembalikan manfaat kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan, subsidi, prasarana, penambahbaikan dan bentuk pembangunan yang lain. 

“Jadi terima kasih kepada Tuan Ibrahim Tuan Man di atas kesudian mereka untuk menerima UMNO, namun UMNO mengambil sikap jangan sesekali dipatuk ular di tempat sama sebanyak dua kali,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya