KANGAR: Seluruh umat Islam di negeri ini diingatkan agar dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan menunaikan kewajipan zakat masing-masing.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, umat Islam disaran agar dapat menggunakan kesempatan hujung tahun ini bagi menunaikan rukan Islam keempat itu.
“Beta juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas budi baik dan murah hati para penyumbang zakat melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),” titah baginda di sini semalam.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat MAIPs di Masjid Al-A’la, Behor Temak, di sini.
Turut berangkat adalah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Menerusi majlis berkenaan, seramai 140 asnaf terpilih telah menerima sumbangan zakat berjumlah RM700 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM98,000.
70 penerima sumbangan adalah merupakan kariah dari Padang Melangit manakala baki selebihnya adalah membabitkan Kariah Alwi, Kangar. -UTUSAN