“BELA ular tidak susah sebab aset yang perlu ada, adalah sebuah keberanian,” kata peminat haiwan eksotik yang hanya mahu dikenali sebagai Yus,30.
Bagi mereka yang mahu berjinak-jinak menceburi hobi ini, kongsi Yus, keberanian adalah modal, kalau penggeli, baik lupakan sahaja hasrat membela reptilia berkenaan.
Individu perlu faham mengenai apa keperluan ular dan tahu bagaimana cara untuk mengendalikan haiwan ini.
“Sebabnya bukan semua ular jinak walaupun secara mata kasar, kita melihat seseorang yang selamba memegang ular.
“Lebih-lebih lagi kalau ular berkenaan kita jumpai di kawasan hutan,” katanya.
Umumnya sebagai langkah keselamatan, elakkan daripada memegang ular dengan tangan.
Apa yang dikhuatiri, ular boleh menyamar dan bersembunyi di sebalik daun, batu atau ranting pokok.
Wanita berani ini, mula berjinak-jinak dengan ular sejak usianya masih kanak-kanak.
“Masa kecil saya tinggal di kampung, depan rumah memang kawasan hutan. Sudah biasa jumpa ular liar seperti ular daun dan ular sawa. Dah biasa halau ular guna penyapu kalau masuk rumah.
“Jadi, bila sudah menginjak usia dewasa, saya mahu menyelami lebih mendalam mengenai ular,” kata wanita asal dari Pahang ini.
Pengalaman zaman kanak-kanak itulah juga yang membulatkan tekadnya menjadikan ular sebagai peneman di kala kesunyian.
Yus hanya meletakkan ular yang dibela di dalam akuarium khas, bagi memastikan keselamatan isi rumah yang lain dan tetamu yang mungkin datang berkunjung ke kediamannya.
“Ular sawa batik yang saya bela ini bersaiz kecil. Dulu pernah bela ular sawa Burma, selepas makin membesar saya hantar ke Zoo Taiping. Kini hanya tinggal seekor di rumah,” katanya.
JAGA ULAR
Penjagaan ular banyak bergantung kepada kerajinan pembelanya.
Bagi Yus, beliau hanya memberikan ular belaannya makan sekali atau dua kali seminggu.
Antara makanan kegemaran ular adalah anak ayam, anak itik, arnab atau tikus yang boleh dibeli di kedai haiwan peliharaan.
“Tak perlu bagi makan setiap hari. Paling penting kita faham pergerakan dan emosi ular. Contohnya, kalau dia lapar ia akan aktif bergerak, kalau garang dia akan menunjal bekas yang didiaminya,” katanya yang menjelaskan ular perlu diletakkan dalam suhu bilik dan diberi minum secukupnya.
Mengulas mengenai aspek kesihatan, Yus berkata, jangkitan kutu pada ular boleh menjejaskan kesihatan haiwan berkenaan menyebabkan ia jatuh sakit.
Antara tanda jangkitan ialah ular akan hilang selera makan dan memiliki emosi yang tidak stabil.
UBAH MENTALITI
Selain membela ular kerana minat, Yus turut mahu mengubah mentaliti orang ramai mengenai ular yang sering dianggap sebagai haiwan berbisa.
“Ular sawa tidak mempunyai bisa, sebaliknya kekuatannya adalah membelit mangsa sehingga mati,” katanya.
Aspek paling penting dalam penjagaan ular adalah memastikan membuat permohonan lesen dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Peminat haiwan ini mesti mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scam yang berselindung di sebalik penjualan binatang eksotik.
“Beli daripada penjual berdaftar yang berlesen,” katanya.
Bagi individu yang mahu menjadikan ular sebagai hobi, mereka disaran mendapatkan kebenaran ahli keluarga yang tinggal serumah dan sertai kumpulan Ular Sawa Malaysia di Facebook bagi mendapatkan panduan dan tips.