IPOH: Hasil ujian saringan air kencing pegawai kanan polis yang terlibat dalam kes langgar pelajar lekaki tingkatan lima di Jalan Taman Jati kelmarin, disahkan negatif dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pegawai kanan berpangkat Deputi Superintenden berusia 44 tahun itu menjalani ujian berkenaan sejurus ditangkap pada hari kejadian.
Katanya, keputusan ujian saringan itu menepis dakwaan tular yang menuduh pihak polis tidak mengambil sampel air kencing suspek untuk pemeriksaan.
“Tuduhan itu tidak benar, berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan suspek didapati negatif dadah.
“Kita juga telah mengambil sampel darah suspek dan kini sedang menunggu keputusan ujian darah yang dilakukan pihak patalogi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, setakat ini, tujuh orang saksi bebas telah pun memberi keterangan dan beliau memohon lebih ramai lagi saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menyalurkan maklumat kerana pihaknya sama sekali tidak akan melindungi pesalah meskipun melibatkan warga polis sendiri.
“Saya baca semua dakwaan yang tular di media sosial kononnya pihak polis akan melindungi suspek kerana dia pegawai kita. Tuduhan itu fitnah dan tidak benar sama sekali.
“Sebab itu, kita minta orang ramai yang ada maklumat untuk bantu kita buat siasatan, kita mahu beri keadilan bukan sahaja kepada mangsa tetapi semua pihak,” katanya.
Terdahulu, seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah direman tiga hari bagi membantu siasatan kes langgar dan seret pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan dalam prosiding yang dijalankan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Tempoh reman selama tiga hari itu sehingga esok. – UTUSAN