UDA terus komited majukan Tanjung Tokong

UDA terus komited majukan Tanjung Tokong

Pangsapuri Warisan Tanjung di Tanjung Tokong yang dibina oleh UDA Holdings Berhad memberi kediaman selesa kepada penduduk Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Selepas berjaya menyiapkan tiga fasa pembangunan semula kawasan Tanjung Tokong, UDA Holdings Berhad (UDA) selaku satu-satunya pemaju yang menyediakan unit kediaman percuma kepada penduduk asal Tanjung Tokong, terus komited untuk memajukan kawasan perkampungan nelayan itu dengan memulakan projek fasa keempat iaitu sejak 2014.

Di bawah fasa ini, projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang melibatkan 550 unit kediaman percuma berkeluasan 850 dan 800 kaki persegi dengan tiga buah bilik bagi setiap unit dibangunkan di atas tanah berkeluasan 3.2 hektar.

Projek ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM84 juta dengan 361 buah unit diberikan secara percuma kepada warga asal kawasan berkenaan. Secara kasar, harga pasaran bagi sebuah unit rumah ini bernilai sekitar RM400,000.

Pangsapuri Tanjung Tokong yang dibina oleh UDA Holdings Berhad untuk penduduk perkampungan nelayan di kawasan berdekatan.

Dengan siapnya projek ini, keluarga yang terlibat akhirnya dapat memiliki rumah yang lebih selesa dengan pelbagai kemudahan asas seperti dewan, surau dan tempat letak kereta bertingkat selain terletak di lokasi strategik yang berdekatan dengan pusat beli-belah, sekolah dan sebagainya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, seperti projek lain, UDA turut berdepan beberapa cabaran dalam menjalankan projek pembangunan fasa 4 ini.

Katanya, antara cabaran dihadapi ialah ketika proses penyerahan unit kediaman kepada penduduk Tanjung Tokong yang terlibat kerana ia dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuatkuasa.

Penyerahan ini telah berlangsung dalam satu majlis ringkas dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat di Dewan Pangsapuri Warisan Tanjung, di Seksyen 1, Bandar Tanjung Tokong,” ujar beliau.

Sebahagian daripada rumah pangsa 16 tingkat yang dibina oleh UDA Holdings Berhad di Tanjung Tokong untuk penduduk Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Datuk Sr Mohd. Salem berkata, pihaknya melihat pembangunan fasa keempat ini sebagai peluang yang besar untuk penduduk di Tanjung Tokong kerana ia membawa banyak manfaat terhadap ekonomi, sosial, dan infrastruktur selain meningkatkan taraf hidup mereka.

Dari segi sosial pula katanya, pembangunan tersebut akan meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan menyediakan kemudahan yang lebih baik seperti taman permainan, tempat rekreasi, dan ruang komuniti.

Penduduk juga akan mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya baharu, kemudahan pengangkutan awam, dan peningkatan sistem bekalan air dan elektrik.

Jadi, secara keseluruhannya, pembangunan fasa keempat ini memberi manfaat yang sangat signifikan kepada penduduk di Tanjung Tokong pada ketika itu,” kata Datuk Sr Mohd. Salem.

Mohd. Salem Kailany

Tambah beliau, kesimpulannya, perancangan UDA dalam membangunkan semula kawasan Tanjung Tokong ini melibatkan kajian awal, rancangan pembangunan, kerjasama dengan pemaju hartanah, pematuhan undang-undang dan garis panduan tempatan, serta melibatkan komuniti setempat.

Justeru, ujar beliau, dengan menggunakan pendekatan holistik ini, UDA berharap untuk mencapai pembangunan yang bersepadu dan memberikan manfaat kepada kawasan dan penduduknya.

Projek yang menjadi kebanggaan UDA di wilayah utara ini diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya Bumiputera di Pulau Pinang dan seterusnya meningkatkan kadar pemilikan hartanah di kawasan bandar terutama sekali di bandar-bandar yang nilai hartanahnya semakin meningkat.

Inisiatif ini juga selari dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) negara dalam memartabatkan pemilikan hartanah di bandar dalam kalangan Bumiputera selain sejajar dengan teras perniagaan UDA sendiri iaitu untuk memperkasa gaya hidup lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya