UDA ejen transformasi kampung nelayan di Tanjung Tokong

UDA pemangkin transformasi kampung nelayan di Tanjung Tokong

uda
Pangsapuri Warisan Tanjung di Tanjung Tokong antara projek perumahan UDA yang berjaya memberi manfaat dan kediaman selesa kepada penduduk Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Nama UDA Holdings Berhad (UDA) sudah tidak asing lagi khususnya di negeri Pulau Pinang sehingga syarikat peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset terkemuka tanah air itu menerima jolokan ‘Pemangkin Transformasi’ kampung nelayan di Tanjung Tokong.

Hal ini kerana, UDA merupakan satu-satunya pemaju hartanah yang memberikan rumah percuma kepada penduduk asal Tanjung Tokong menerusi program Pembangunan Penempatan Semula.

Di wilayah utara khususnya Pulau Pinang, UDA banyak menumpukan usaha untuk membangunkan kawasan penempatan termasuk penempatan semula serta bangunan-bangunan komersial dan projek hartanah wakaf.

Sebenarnya, sejarah pembangunan Tanjung Tokong agak panjang jika ditelusuri kerana ia bermula sejak tahun 1972 iaitu kira-kira 51 tahun dahulu, setahun selepas penubuhan UDA sebagai sebuah syarikat perbadanan milik kerajaan.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, pembangunan keseluruhan Tanjung Tokong melibatkan kawasan seluas 39.46 hektar terbahagi kepada dua komponen penting iaitu Warisan Tanjung dan Desiran Tanjung.

Katanya, Warisan Tanjung merujuk kepada Pembangunan Penempatan Semula penduduk asal Tanjung Tokong di kawasan seluas 17.58 hektar dengan hampir separuh daripada keluasan itu telah dibangunkan dan sebilangan besar penduduk juga telah menghuni rumah baru di penempatan semula.

Sementara itu pula ujarnya, Desiran Tanjung merupakan projek yang dibangunkan susulan pemberian tanah milik kerajaan seluas 21.88 hektar pada 1998 untuk dimajukan dalam bentuk pembangunan bercampur bagi menampung sebahagian kos penempatan semula di mana keuntungan yang dijana dapat menampung kos pembangunan Warisan Tanjung untuk syarikat.

Secara keseluruhannya, kedua-dua projek pembangunan melibatkan 8,373 unit kediaman dan premis perniagaan, terdiri daripada 936 unit rumah kos rendah yang berharga RM25,000; 1,200 unit rumah kos sederhana rendah yang diberikan percuma kepada penduduk asal (BPTOL), anak-anak BPTOL dan penyewa unit rumah yang layak serta 2,930 unit rumah mampu milik (RMM) bernilai RM299,000.

Turut dibangunkan ialah 3,019 unit rumah kos sederhana berharga di bawah RM300,000 serta 288 unit kedai pejabat yang bernilai kurang daripada RM500,000 dengan unit yang telah siap dibina sehingga kini adalah sebanyak 4,523 unit. Baki unit yang akan dibina pula dianggarkan berjumlah 3,850 unit,” katanya, baru-baru ini.

Jelas Mohd. Salem, gelaran ‘Pemangkin Transformasi’ itu diberi kerana peranan serta usaha berterusan yang dilakukan oleh UDA dalam membantu mengembang serta memajukan perkampungan nelayan kepada satu penempatan moden dan kondusif.

Dalam hal ini katanya, tanggungjawab UDA didukung oleh kerajaan untuk memperbaiki kondisi sosial, ekonomi, dan infrastruktur di kampung nelayan dalam membantu warga penduduk terlibat mendiami rumah yang lebih selesa.

Agenda pembangunan ini akan diteruskan dengan beberapa projek yang bertujuan untuk menjadikan Tanjung Tokong sebagai sebuah kawasan yang lebih moden dan berkembang ditransformasikan oleh syarikat berkaitan kerajaan atau GLC itu.

Ini sejajar dengan peranan UDA dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan bandar yang komprehensif serta memperbaiki infrastruktur sosial seperti sekolah, klinik kesihatan, dan kemudahan rekreasi khususnya di Tanjung Tokong selain terlibat dalam menjaga keaslian budaya dan sejarah perkampungan nelayan itu sendiri.

Secara keseluruhannya, peranan UDA dalam mentransformasikan perkampungan nelayan di Tanjung Tokong adalah untuk mencapai pembangunan yang mampan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya