KUALA TERENGGANU: Bermula sekadar mencuba selepas mendapat inspirasi ketika menonton video oleh pempengaruh Thailand di media sosial, resipi ubi kayu tonyoh yang dihasilkan Mohd Anuar kini mendapat sambutan selepas tular di media sosial.
Itu rezeki terbaharunya selepas perniagaan ikan bakarnya sebelum ini dilanda banjir dan tidak diusahakan lagi.
Sekadar mencuba selepas itu, sajian ubi kayu kukus ‘tonyoh’ tersebut laris yang dijual sejak minggu lalu, laris di pasaran.
Menurut Mohd. Anuar, dia mula menjual sajian tersebut selepas kedai makan miliknya dinaiki air setinggi hampir 0.5 meter dalam gelombang pertama banjir di Kampung Kubang Jela di sini, Jumaat lalu.
Katanya, sambutan diterima cukup baik bukan sahaja daripada penduduk setempat, malah pelanggan dari jauh juga sanggup datang ke Terengganu untuk merasainya.
“Setiap hari lebih 300 kilogram (kg) ubi kayu serta 45kg kelapa parut disediakan untuk hidangan ini yang dijual pada harga RM5 sebekas atau RM6 untuk tambahan ‘nisang’ atau air gula Melaka.
“Walaupun baru bermula minggu lalu, sambutan daripada pelanggan dalam dan luar negeri sangat memberangsangkan apabila hasil jualan harian boleh mencapai sekitar 500 bekas.
Tambah Mohd. Anuar, dia dibantu bapa, Arifin Hasan, 65, dan lima ahli keluarga yang lain setiap pagi bermula pada pukul 9 pagi sehingga 6.30 petang bagi mengusahakan jualan berkenaan sejak seminggu yang lalu.
“Bekalan ubi kayu mudah diperoleh dalam musim hujan daripada penduduk kampung dan saya berhasrat untuk meneruskan jualan ini sehingga musim tengkujuh berakhir,” ujarnya.
Seorang pelanggan, Nor Safura Drasa, 51, dari Kuantan, Pahang, berkata, dia tertarik dan ingin mencuba hidangan tersebut selepas melihat jualan ubi kayu ‘tonyoh’ kukus yang dijual Mohd. Anuar tular di media sosial.
Menurutnya, hidangan tradisional itu jarang ditemui atau dijual secara komersial menyebabkan dia dan suami sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membelinya. –UTUSAN