Tutup jalan 54 jam: Kerajaan negeri perlu bertemu peniaga

Tutup jalan 54 jam: Kerajaan negeri perlu bertemu peniaga

BEBERAPA jalan utama di Banda Hilir, Melaka ditutup selama 54 jam bermula petang Jumaat sehingga tengah malam Ahad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri perlu berhenti bersikap seperti tikus membaiki labu dalam isu penutupan jalan selama 54 jam di Banda Hilir di sini untuk Zon Bebas Kenderaan.

MOHD. YADZIL YAAKUB

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, pimpinan kerajaan negeri sepatutnya turun ke bawah bertemu para peniaga terjejas dan mendengar masalah yang diutarakan.

Jelasnya, kerajaan negeri sepatutnya menjadi pemudah cara bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Sebagai kerajaan, sebarang keputusan yang hendak dibuat mesti dipastikan adil. Tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa memikirkan untung nasib rakyat. Tindakan melulu dalam sesuatu keputusan sehingga menganiaya rakyat adalah zalim.

“Kelmarin kumpulan penjaja, peniaga dan pengusaha kecil di Banda Hilir menjadi mangsa dek kerana tindakan serta keputusan kerajaan negeri.

“Periuk nasi mereka yang hanya berniaga demi kelangsungan hidup sedang menanti detik untuk lingkup akibat keputusan penutupan jalan oleh kerajaan negeri. Bukan sekejap tetapi 54 jam seminggu dan dibuat pula pada hujung minggu iaitu waktu puncak untuk peniaga mencari makan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 100 peniaga di Medan Samudera, Banda Hilir meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penutupan jalan Zon Bebas Kenderaan daripada 54 jam kepada hanya 18 jam.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja Peniaga Pengusaha Kecil Melayu Melaka (PPPPKMNM) Cawangan Melaka Bandar, Abdul Rahim Embi berkata, penutupan jalan selama tiga hari bermula petang Jumaat itu menjejaskan kehadiran pengunjung terutama pelancong ke medan berkenaan.

Menurutnya, apabila jalan ditutup, pelancong yang menaiki bas, kereta dan motosikal tidak datang ke kawasan itu.

Tambah Mohd. Yadzil, kesan buruk kepada perniagaan di kawasan terlibat turut akan mendatangkan impak kepada ekonomi negeri, memandangkan kumpulan penjaja dan peniaga kecil memainkan peranan penting dalam industri pelancongan.

“Ingat penjaja, peniaga dan pengusaha kecil ini adalah penyumbang kepada ekonomi Melaka. Mereka jugalah yang memberi perkhidmatan kepada tetamu Melaka tanpa perlu digaji kerajaan,” jelasnya.– UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya