PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tugas baharu sebagai Menteri Luar merupakan satu tanggungjawab dan amanah berat serta berjanji melaksanakan dengan sebaiknya.
Kata Ahli Parlimen Rembau itu, komitmen beliau kini ialah untuk meneruskan dasar luar yang progresif, bebas dan berkecuali, selari dengan kepentingan nasional dan peranan antarabangsa Malaysia.
Beliau kemudian menzahirkan terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuknya menerajui Kementerian Luar.
“Ia adalah tanggungjawab dan amanah yang berat dan akan saya laksanakan sebaiknya dengan kerjasama dan nasihat para pegawai kanan dan seluruh kakitangan Wisma Putra.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir atas kepimpinan beliau yang cemerlang di Kementerian Luar,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad antara tiga pemimpin UMNO yang bertukar kementerian.
Beliau sebelum ini Menteri Pertahanan bertukar sebagai Menteri Luar manakala kekosongan yang ditinggalkan Mohamad diisi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi.
Zambry pula bertanggungjawab di Kementerian Pendidikan Tinggi dan seorang lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau sangat terhutang budi dan berterima kasih atas segala kerjasama, saranan dan bantuan yang diberikan kepadanya semasa menjawat jawatan Menteri Pertahanan.
“Pengalaman berharga yang saya lalui di kementerian ini akan abadi dalam kenangan untuk selamanya. Kepada Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, selamat bertugas di Kementerian Pertahanan.
“Insya-allah pengalaman luas Datuk Seri akan memberi manfaat besar kepada warga Kementerian Pertahanan,” katanya. – UTUSAN